KUALA SELANGOR: Parti Bersatu (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang menyasarkan pembukaan 15 lagi cawangan di kawasan berkenaan bagi mengukuhkan penubuhan parti itu di sana.
Ketua Bahagiannya, Nurul Syazwani Noh berkata, sehingga kini sebanyak lima cawangan sudah pun dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) untuk mendapat kelulusan bagi penubuhannya.
“Sehingga kini kita ada 21 cawangan (aktif) di Tanjong Karang. Sasarannya adalah untuk menambah 15 lagi cawangan. Maknanya kalau tubuh kesemua 15 cawangan itu akan melengkapkan keseluruhan 36 cawangan.
“Kita sudah pun bermula dengan penaja-penaja di lima cawangan yang masih dalam proses menunggu kelulusan ROS (JPP),” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesyuarat Perwakilan Tahunan Bersatu Bahagian Tanjong Karang, semalam.
Tambahnya, dengan penambahan cawangan tersebut akan memberikan mandat lebih kepada parti untuk mewakili rakyat di kawasan parlimen itu. – UTUSAN