KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pihak lain untuk tidak memikirkan tarikh yang sesuai bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, DUN Sabah tetap akan dibubarkan bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Orang lain jangan fikirkan sangat. Sebagai Ketua Menteri, saya akan menentukan (pembubaran) nanti. Tapi jelas bahawa tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya negeri.
“Sama ada kita suka awal atau lambat, ia mesti diadakan. Jadi, tunggu kita serah balik (mandat) kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran di Dewan Sri Putatan.
Turut hadir ketika lawatan mangsa kebakaran di Dewan Sri Putatan adalah Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Tambah Hajiji, perbincangan awal telah diadakan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) bagi kerjasama PRN Sabah ke-17 selain ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum pembubaran DUN Sabah.
Beliau turut mengalihkan soalan berhubung terdapat kemungkinan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan kerjasama antara kedua-dua parti itu menjelang PRN seperti mana Kerajaan Perpaduan di Semenanjung.
“Tanyalah BN apa mereka mahu,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, isu rasuah membabitkan lesen perlombongan mineral di Sabah tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri selain mengingatkan agar menghormati proses perundangan.
“Saya ingat (isu ini) tidak memberi kesan (terhadap kerajaan negeri). Apapun, kita menegakkan proses undang-undang dan memastikan ia berjalan sebaik mungkin.
“Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka,” katanya. – UTUSAN