PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemilihan calon dibuat dengan penuh teliti bagi memastikan gabungan itu menampilkan barisan terbaik yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai rekod khidmat cemerlang kepada rakyat.
“Selain mengambil kira aspirasi rakyat, BN Sabah juga tampil dengan wajah, jiwa dan pendekatan baharu, di mana 80 peratus calon terdiri daripada muka baharu sebagai tanda iltizam BN untuk membawa pembaharuan yang lebih progresif dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Daripada jumlah itu, lebih 30 peratus calon merupakan wakil golongan muda, bagi memastikan suara dan aspirasi generasi muda terus diberi tempat dalam kepimpinan negeri,” katanya ketika Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Sabah, hari ini. – UTUSAN










