BUKIT MERTAJAM : DAP dijangka mengumumkan kerusi kelapan yang bakal ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas rundingan lanjut bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dimuktamadkan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kepada pemberita, hari ini.
“Ya, memang. Semalam ada satu kerusi lagi di pedalaman yang belum kita umumkan. Kita akan umumkan dalam masa yang terdekatlah kerana masih ada perbincangan dengan rakan-rakan parti (komponen) yang lain ketika ini,” ujar beliau.
Difahamkan, kerusi yang dimaksudkan itu ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong yang turut ‘diintai’ oleh GRS.
Ketika ini, tujuh kerusi DUN yang telah disahkan bakal ditandingi oleh DAP pada PRN Sabah ialah di Likas, Tanjung Aru, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura, Luyang dan Tanjong Papat.
Terdahulu, Anthony hadir merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong serta beberapa pemimpin DAP yang lain.
Ketika berucap sempena konvensyen itu, Anthony mengingatkan para perwakilan serta pimpinan DAP negeri bahawa bermula tahun depan, parti tersebut akan melalui satu tempoh yang cukup kritikal.
“Penghujung tahun depan dan awal tahun 2027, ada beberapa negeri bakal tamat tempoh Dewan Undangan Negeri mereka termasuk Johor, Melaka, Sarawak.
“Jadi, sekiranya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membuat keputusan nak membuat pilihan raya secara serentak dengan beberapa negeri ini, maka, Parlimen mungkin perlu dibubarkan lebih awal daripada kita (di Pulau Pinang).
“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan bahawa pimpinan di Pulau Pinang juga kena buat persediaan kerana kalau ada pilihan raya serentak antara pusat dengan negeri-negeri ini (Johor, Melaka dan Sarawak), maka, kita harus bersedia,” katanya.-UTUSAN










