SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yakin Nurul Izzah Anwar mempunyai perwatakan yang mampu menjadi jalan tengah antara pertembungan dengan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Justeru, beliau dianggap sebagai individu yang layak bertanding sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihannya yang pencalonannya bermula pada Khamis ini.
Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, Nurul Izzah yang dikenali dengan jolokan ‘puteri reformasi’ berpengalaman sebagai pelopor utama perjuangan sejak awal gerakan reformasi parti itu.
Menurutnya Nurul Izzah mampu meredakan persaingan dua tokoh dan menyatukan kembali semua ahli untuk menghadapi pililhan raya akan datang.
“Gabungan tenaga baru dan lama ini pasti akan menjadi nilai tambah dan membolehkan parti ini tetap terus menjadi pilihan malah akan terus memperjuangkan idealisme reformasi.
“Atas dasar ini saya menyokong penyertaaan saudari Nurul Izzah untuk bertanding sebagai Timbalan presiden pada pemilihan kali ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini memetik sumbernya melaporkan Nurul Izzah akan mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Rafizi
Pengumuman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat susulan tindakan Rafizi yang dilihat kurang komited dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dan jawatan Menteri Ekonomi yang dipegangnya.
Malah, tindakan pemimpin utama PKR itu dikatakan telah mendapat restu semua pihak termasuk akar umbi, sekali gus menjelaskan jawatan nombor dua dalam parti itu akan ada pencabar.
Muhammad Izuan menambah, pemilihan kali ini penting bagi PKR sebagai parti kerajaan yang menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Jawatan paling menjadi perhatian semestinya jawatan timbalan presiden iaitu antara Rafizi ramli dan Saifuddin nasution. Dua nama yang sentiasa disebut yang akan merebut jawatan daripada mula sehingga kini,” ujarnya. – UTUSAN