Keluar parti: PKR tuntut RM160 juta

Keluar parti: PKR tuntut RM160 juta

PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti PKR telah memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang kerana bertindak keluar daripada parti berkenaan selepas memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Saman oleh Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh bagi pihak parti itu difailkan dalam dua tindakan yang berasingan melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 19 Februari lalu, PKR memfailkan saman dengan menamakan bekas Ahli Parlimen PKR Baru Bian, Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Mohd. Rashid Hasnon, Saifuddin Abdullah dan R Santhara Kumar sebagai defendan.

Pada 27 Februari pula, PKR memfailkan saman dengan menamakan bekas ADUN, Abdul Yunus Jamhari, Azman Nasrudin, Afif Bahardin, Chong Fat Full, Dr. Daroyah Alwi, Haniza Mohd. Talha, Muhammad Hilman Idham, Muhammad Jailani Khamis, Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim sebagai defendan.

Pada pilihan raya tersebut, Baru merupakan Ahli Parlimen Selangau, Kamarudin ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Mansor ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mohd Rashid ialah Ahli Parlimen Batu Pahat, Saifuddin ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota manakala Santhara Kumar ialah Ahli Parlimen Segamat.

Yunus pula merupakan Adun Kuala Kurau, Azman (Lunas), Afif (Seberang Jaya), Chong (Pemanis), Daroyah (Sementa), Haniza (Lembah Jaya), Hilman (Gombak Setia), Jailani (Rembia), Ling (Sidam) dan Zulkifli (Sungai Acheh).

Saman serupa pernah difailkan terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin dan Kerajaan Tempatan pada Oktober 2020.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, PKR menyatakan kesemua calon yang akan bertanding dalam PRU14 perlu menandatangani satu bon.

Menurut klausa operatif Bon, setiap defendan bersetuju untuk membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari selepas meletakkan jawatan daripada PKR atau menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas selepas menang dalam pilihan raya berkenaan.

“Setiap defendan telah bertanding dalam PRU14 di bawah nama parti dan dipilih sebagai Ahli Parlimen dan ADUN bagi kawasan masing-masing. Pada pelbagai tarikh, setiap defendan telah berhenti daripada terus menjadi ahli PKR selepas dipilih dan telah menzahirkan sokongan kepada gabungan politik selain PKR.

“Berikutan itu, gabungan pemerintah di peringkat Persekutuan tidak lagi mendapat majoriti di Dewan Rakyat. Satu gabungan pemerintahan baharu kemudiannya telah ditubuhkan di peringkat Persekutuan.

“Disebabkan perkara-perkara yang diplidkan di atas, setiap defendan telah melanggar Bon, sekali gus mencetuskan kewajipan untuk membayar sejumlah RM10 juta

“Melalui surat-surat bertarikh 28 Julai dan 7 Ogos 2020, PKR telah membuat tuntutan rasmi terhadap setiap defendan namun gagal membayar jumlah tersebut atau sebahagian daripadanya,”k ata Fuziah dalam penyataan tuntutan tersebut.

Sehubungan itu, PKR antara lain menuntut RM10 juta daripada setiap defendan atau satu jumlah yang difikirkan munasabah, pampasan terhadap nilai dan manfaat yang telah diberikan PKR kepada mereka pada PRU14, faeda, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Saman membabitkan bekas ahli-ahli Parlimen ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Mac ini manakala saman terhadap bekas-bekas ADUN ditetapkan untuk pengurusan kes pada 27 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN