JOHOR BAHRU: PKR Johor telah mengenal pasti 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu dibuat pihaknya selepas pemukiman kepemimpinan MPN PKR Johor yang diadakan selama dua hari di Muar, baru-baru ini.
“Ketika pemukiman itu, PKR Johor telah mengenal pasti 28 kerusi daripada 56 DUN berpotensi untuk ditandingi calon PKR berdasarkan penilaian melibatkan kekuatan organisasi serta analisis kawasan.
“Ini dicapai selepas penyelaras kekuatan parti dibuat terhadap kesemua 26 cabang PKR di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dr. Zaliha, sasaran itu turut mengambil kira kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta kemungkinan PRN dan Pilihan Raya Umum diadakan sama ada secara serentak atau berasingan.
“Ketika ini gerak kerja mengukuhkan jentera parti di setiap cabang sedang dibuat bagi memastikan operasi di lapangan lebih tersusun. Ini fasa baharu buat kami menjelang PRN Johor yang dijangka tidak lama lagi,” katanya.
Pada PRN Johor 2022 lalu, PKR bertanding di 20 kerusi DUN, bagaimanapun mereka hanya menang satu kerusi iaitu di di DUN Bukit Batu menerusi calonnya, Arthur Chiong Sen Sern. – UTUSAN










