SHAH ALAM: Bekas ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, Hee Loy Sian menyertai senarai pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihannya dalam kongres nasionalnya 23 hingga 25 Mei ini.
Beliau yang memegang jawatan terakhir sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pada penggal lalu menawarkan khidmat dan pengalaman dalam kepemimpinan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
Menurut kenyataan Loy Sian, beliau yakin pengalamannya dalam parti sejak 1999 mampu menterjemahkah kepemimpinan yang berasaskan keadilan dan inklusiviti bagi memperkukuh perjuangan parti.
“Saya tampil membawa aspirasi ‘Reformis Inklusif’, sebuah perjuangan untuk mencipta perubahan yang bukan sahaja menyentuh aspek sistem, tetapi turut menjamin keadilan, manfaat dan penyertaan menyeluruh bagi setiap lapisan masyarakat.
“Dengan pengalaman 17 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), dua penggal sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, dan sepenggal sebagai ADUN Kajang merangkap Exco Selangor, saya yakin dan bersedia menggalas amanah Naib Presiden dengan penuh komitmen, integriti, dan dedikasi,” katanya.
Penyertaan Loy Sian dalam pertandingan bagi jawatan tersebut bakal menyaingi sosok-sosok utama seperti Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun yang akan mempertahankan kedudukannya.
Turut akan mempertahankan jawatan tersebut adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, sebelum ini dilaporkan juga menawarkan diri.
Malah, Menteri Komunikasi, Datuk Mohamed Fahmi Ahmad Fadzil juga mengumumkan akan merebut jawatan itu bersama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun, Nurul Izzah dilapor akan merebut jawatan Timbalan Presiden bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli apabila menerima pelbagai sokongan di Melaka, Perak dan Selangor. – UTUSAN