‘Hiruk’ Rafizi vs ‘Damai’ Nurul Izzah

‘Hiruk’ Rafizi vs ‘Damai’ Nurul Izzah

RAFIZI RAMLI dan NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG pemilihan PKR, khu­susnya membabitkan pertembungan sengit merebut ja­watan Timbalan Presiden antara penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar semakin panas dengan Ahli Parlimen Pandan itu dilihat sudah memasuki ‘gear’ lima.

Puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilihat kekal tenang dalam kempen beliau setakat ini.

Dalam kempennya, Nurul Izzah dilihat lebih memberi tumpuan kepada masa depan parti tanpa melayan secara langsung hujah daripada Rafizi termasuk cabaran debat yang sememang­nya menjadi ‘makanan’ serta ke­lebihan Menteri Ekonomi itu.

Pemilihan kali ini dilihat sa­ngat menarik memandangkan kali pertama berlangsung ketika PKR mengetuai kerajaan Perpaduan sekali gus menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Rafizi dan Nurul Izzah membawa gagasan sendiri sepanjang tempoh kempen ini iaitu Rafizi menamakannya sebagai HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa), manakala Nurul Izzah pula dengan DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif).

Sepanjang siri jelajah Hiruk Rafizi di beberapa negeri menjelang pemilihan parti itu, kempen atau ucapan beliau yang berlangsung di Kelantan kelmarin paling menarik perhatian.

Rafizi seolah-olah meluahkan segala yang terpendam di hati selain usaha menjentik hati perwakilan memilih beliau dise­balik ramalan awal Nurul Izzah tidak berdepan masalah memenangi jawatan nombor dua parti itu.

Antaranya, Rafizi memperso­al siapa sebenarnya yang me­ngun­dang kepada keadaan ‘hiruk’ di dalam PKR yang sebelum ini ‘damai’ apabila mengadakan pemilihan parti tahun ini ketika di peringkat awal parti telah bersetuju supaya ditangguh sehingga enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Kata Rafizi, keputusan asal­nya dalam parti di peringkat biro politik PKR pemilihan tidak dilakukan tahun ini, namun akhir­nya diminta untuk membe­narkan kembali pemilihan atas alasan mengetengahkan ba­kat-bakat baru.

Tegas Rafizi, jika kekal de­ngan keputusan asal dengan tidak ada pertandingan pada kali ini dan tidak melayan kehendak dua tiga bakat-bakat baru ini, tidaklah sampai jadi hiruk-pikuk ketika sebelum ini keadaan sudah damai.

Selain itu, tanpa berselin­dung Rafizi juga mempersoalkan prinsip sesetengah pemimpin PKR berkaitan beberapa perkara termasuk dalam soal debat yang sebelum ini menjadi budaya PKR namun sekarang sudah jadi sebaliknya dipercayai merujuk kepada Nurul Izzah selepas menolak pelawaan debat beliau.

Menjelang pemilihan yang berbaki lebih kurang seminggu lagi, suasana kempen khusus­nya membabitkan kem Rafizi di­jangka lebih panas.

Dari segi sokongan, Nurul Izzah mungkin kelihatan mendahului, namun Rafizi sebagai pakar strategi, tidak mustahil mampu mengubah keadaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN