Pembangkang desak adakan Sidang DUN Khas Putra Heights

Pembangkang desak adakan Sidang DUN Khas tragedi Putra Heights

Pembangkang Putra Heights
MOHAMED Azmin Ali dan Harrison Hassan (empat, kiri) bergambar bersama tetamu pada Majlis Jamuan Aidilfitri DUN Jeram, di Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pembangkang Selangor kekal mendesak kerajaan negeri supaya segera mengadakan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan isu tragedi letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights secara menyeluruh.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, desakan itu berikutan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang masih tidak diberikan penjelasan mengenai insiden berkenaan sehingga kini.

Menurut Pengerusi PN Selangor itu, taklimat secara tertutup hanya melibatkan ADUN dan penyelaras DUN daripada Pakatan Harapan (PH).

“Perkara itu perlu dibincang kerana kita mahu tahu perkara yang berlaku dan ia melibatkan faktor keselamatan serta nyawa rakyat negeri ini.

“Kenapa hanya beri taklimat kepada ADUN dan penyelaras PH sahaja. Penyelaras hanya lantikan politik sedangkan kami dipilih oleh rakyat. Justeru, kami kekal desak sidang khas segera diadakan bagi membahaskan isu itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri DUN Jeram, malam tadi.

PN Selangor sebelum ini turut mendesak satu siasatan bebas dan telus dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar dan langkah pencegahan bagi mengelak insiden sama berulang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kemudian menegaskan ia bukan masa bersesuaian membahaskan insiden Putra Heights dalam sidang khas DUN sebaiknya, Tumpuan perlu diberikan kepada siasatan dan langkah memastikan keselamatan penduduk terjejas.

Pada 1 April lalu, letupan paip gas mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya manakala 81 pula separa musnah, 57 terkesan tapi tidak terbakar dan 218 rumah tidak terjejas.

Mohamed Azmin memberitahu, Pembangkang Selangor menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 bagi menyewa bas bagi kemudahan anak-anak mangsa yang bersekolah.

“Peruntukan itu diperoleh hasil sumbangan daripada Yayasan Tan Sri Muhyiddin kerana prihatin akan keluhan rakyat yang kenderaan mereka turut musnah.

“Bantuan ini akan diteruskan kerana kita tahu kerja-kerja membaik pulih rumah tidak boleh selesai dalam masa singkat,” ujarnya.

Selain itu, beliau menyatakan rasa kesal dengan kegagalan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada projek tebatan banjir yang dijanjikan sebelum ini.

“Pada sidang DUN Selangor sebelum ini, saya sendiri telah membangkitkan isu mengenai projek-projek tebatan banjir yang hakikatnya belum lagi bermula. Keadaan ini memburukkan lagi situasi banjir yang masih berlaku sekali gus menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, sidang khas berkenaan perlu diadakan kerana pembangkang turut turun padang menemui mangsa tragedi Putra Heights berkenaan.

“Kami mahu mengetahui jaminan kerajaan negeri supaya ia tidak berulang dan rakyat juga ternanti-nanti perkembangan itu. Sehingga kini, blok pembangkang tidak dipanggil bagi taklimat sedangkan kami juga dipilih oleh rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN