KUALA SELANGOR: Parti Amanah didakwa antara yang menawarkan keahlian kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi yang ketika ini tidak menyertai mana-mana parti selepas keluar daripada Parti Bersatu untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
Dr. Zulkafperi berkata, beliau menerima banyak tawaran untuk menyertai salah satu antara parti-parti dalam kerajaan, namun menanti waktu yang sesuai untuk membuat keputusan.
“Banyak tawaran dan pelawaan, namun saya belum memuktamadkan keputusan. Saya juga perlu mengambil kira keperluan untuk mengelak berlaku pelanggaran Akta Anti Lompat Parti.
“Kini, saya hanya bersikap terbuka kerana belum memilih ke mana-mana (parti), namun menjalin hubungan baik dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Madani,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri dan Jamuan Kasih Rakyat, malam tadi.
Jelasnya, biarpun dikaitkan dengan Amanah, pintu rundingan masih terbuka termasuk dengan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
“Saya akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tanpa mengira tiket mana-mana parti bakal disertainya.
“Saya merupakan calon terbaik memenangi kerusi ini sama ada bertanding atas tiket UMNO, PKR atau Amanah,” ujarnya.
Tambah Dr. Zulkafperi, dia optimis dapat meraih sokongan di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen itu iaitu Permatang dan Sungai Burong yang kini disandang Perikatan Nasional (PN).
“Saya yakin faktor Parlimen akan mempengaruhi DUN. Insya-Allah, kita akan pastikan kedua-dua DUN ini bersama kita pada masa akan datang. Sokongan rakyat terhadap saya sebagai wakil rakyat Bebas juga amat menggalakkan termasuk daripada semua kaum,” katanya. – UTUSAN