Penunggang maut bertembung kereta buat pusingan ‘U’

Penunggang maut bertembung kereta buat pusingan ‘U’

Penunggang maut
SEORANG penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah Proton Saga yang membuat pusingan U dekat KM 68, Jalan Klang - Teluk Intan, di Kuala Selangor, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta dekat Kilometer (KM) 68, Jalan Klang – Teluk Intan di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 21 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga membuat pergerakan pusingan ‘U’ bagi memasuki simpang di lokasi kejadian.

“Manakala penunggang motosikal yang datang dari arah belakang melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kiri kereta berkenaan.

Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya.

“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor di taliann 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN