Ahmad Zahid selar pemimpin amal sifat taqiyyah

Ahmad Zahid selar pemimpin amal sifat taqiyyah

AHMAD ZAHID Hamidi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup KUD @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pemimpin pembangkang diingatkan supaya tidak mengamalkan sifat taqiyyah atau hipokrit, semata-mata ingin mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ada beberapa negeri diterajui pembangkang tidak langsung bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sifat taqiyyah itu sepatutnya diubah oleh setiap pemimpin walaupun berlaku perbezaan pendapat dan politik.

“Walaupun kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan bersifat berpura-pura. Di depan pemimpin utama cakap yang baik-baik dan muka manis, tapi bila di belakang pelbagai fitnah dilemparkan.

“Kita tahu terdapat negeri-negeri tidak mempunyai keserasian, namun kita amat mengagumi sikap keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri dalam memberikan peruntukan.

“Tetapi ada negeri yang langsung tidak bersyukur dengan apa yang mereka perolehi. Kita lihat di hadapan kelihatan muka pemimpin-pemimpin ini manis, tapi di belakang terutama ketika pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, maki dan fitnah yang dilemparkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, pemimpin pembangkang harus menunjukkan sikap sebenar kepada pemimpin kerajaan Persekutuan, sekali gus membolehkan rakyat menilai perjuangan sebenar mereka.

Katanya, setiap pemimpin perlu ikhlas sama ada di depan atau di belakang agar rakyat dapat menilai serta memberikan dukungan.

“Rakyat kini dapat mengenal mana yang intan, mana yang kaca, mana yang mutu, mana yang manikam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN