Tingkat prestasi 54 anak syarikat kerajaan Melaka alami kerugian

Tingkat prestasi 54 anak syarikat kerajaan Melaka alami kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pendekatan korporat dan berdaya saing diperlukan dalam usaha meningkatkan semula prestasi 54 agensi dan anak syarikat milik kerajaan negeri yang mengalami kerugian.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, langkah itu penting dalam merancakkan kembali ekonomi anak syarikat, sekali gus memberi pulangan kepada pemegang taruh.

Kata beliau, semua ketua eksekutif anak syarikat dan agensi diingatkan bahawa prestasi untung atau rugi akan memberi kesan langsung kepada kumpulan dalam laporan kewangan tahunan yang diaudit.

“Justeru, saya mahu segala yang telah diperhalusi dan diperincikan semasa pemukiman Pembangunan Intelektual dan Kepimpinan Bagi Ketua Agensi dan Anak Syarikat serta Bengkel Pemantapan Kutipan dan Cadangan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2024 diambil cakna.

“Segera ambil tindakan yang progresif kerana fokus utama kerajaan negeri adalah kita tidak mahu anak-anak syarikat negeri Melaka selepas ini ada yang rugi di bawah agensi-agensi. Saya tidak mahu perkara ini diambil remeh tetapi mesti bertindak sederas arus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Hari Bertemu Rakyat di sini, hari ini.

Tambah Rauf, beliau telah mewajibkan semua ketua eksekutif memulakan usaha untuk memanggil pihak pengurusan anak syarikat untuk bermesyuarat.

Katanya, pertemuan itu bertujuan untuk membuat pemantauan pencapaian terhadap semua anak syarikat termasuk syarikat bersekutu.

“Ia meliputi sasaran untung rugi yang telahpun menjadi panduan dan komitmen kepada semua ketua eksekutif anak syarikat bagi memastikan sasaran dan perbelanjaan tahunan dapat dicapai. Kuasa penuh diberikan kepada mereka untuk memanggil pihak pengurusan anak syarikat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN