Wakil rakyat tidak turun padang, saya galas tugas ADUN

Wakil rakyat tidak turun padang, saya galas tugas ADUN Rembia – Fairul

FAIRUL NIZAM Roslan (empat dari kiri) bergambar bersama orang ramai yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rembia di Japerun Rembia, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan mendakwa, masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia terpinggir daripada menerima pelbagai bantuan kerana wakil rakyat sedia ada tidak turun padang membantu.

Fairul Nizam yang kini menjawat jawatan Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Rembia sejak 1 November 2023 berkata, selepas mengambil alih pentadbiran beliau mendapati masyarakat di situ amat memerlukan perhatian wakil rakyat.

Menurutnya, beliau menggerakkan jawatankuasa khas bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mencari penduduk yang memerlukan bantuan.

“Alhamdulillah daripada usaha itu kita menerima sebanyak 200 permohonan untuk menerima bantuan daripada JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Selain itu, usaha turut dilakukan untuk membaik pulih sebanyak 13 rumah uzur dan peruntukan sebanyak RM260,000 melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah disalurkan.

“Selain itu saya turun padang mendekati guru-guru dan pelajar di semua sekolah di DUN Rembia untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi dan perlu
diselesaikan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rembia di Japerun Rembia di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau tidak menerima peruntukan kerajaan negeri sama seperti diperoleh 20 ADUN Barisan Nasional (BN) dan lima ADUN Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS

Ia susulan beliau tidak lagi menjadi Pengerusi Penyelaras Japerun Rembia, yang mana jawatan itu kebiasaannya disandang ADUN kerajaan.

Tambah Fairul Nizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, penstrukturan semula Japerun Rembia telah dilaksanakan termasuk pertukaran hampir 80 peratus muka baharu menerajui JPKK.

“Pertukaran pengerusi JPKK terpaksa dibuat bagi memastikan muka baharu yang dilantik dapat mengikut struktur parti dan kerajaan negeri agar segala masalah rakyat dapat ditangani dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN