MELAKA: Dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung keretakan sedang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai sengaja mencetuskan sensasi.
Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak berlaku keretakan seperti didakwa Muhammad Sanusi, sebaliknya semua parti gabungan memainkan peranan proaktif dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Kata beliau, perbezaan pendapat antara parti adalah perkara biasa dan boleh diselesaikan secara dalaman.
“Tidak ada keretakan apa-apa. Sebelum ini MIC dikatakan tidak akan bekerjasama (dalam PRK) tetapi hari ini MIC akan melancarkan bilik gerakan di Kuala Kubu Bharu.
“Politik ini biasalah bermain dengan persepsi. Sanusi mesti ada isu sensasi yang dimainkan, baru dia boleh hidup.
“Setakat ini alhamdulillah MCA datang dalam mesyuarat penyelarasan semua pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan. Sebagai Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan saya tidak melihat masalah keretakan hubungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian LOCCA Cafe di Banda Hilir di sini, hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan MCA dan MIC mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam sebarang kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang dijadualkan 11 Mei ini, sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
Tambah Asyraf Wajdi, sebarang perbezaan pendapat dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa ditangani secara berhemah.
Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, terdapat dua peringkat untuk menyelesaikan perbezaan pandangan iaitu di peringkat Majlis Pimpinan dan Sekretariat.
“BN dulu ada 14 parti komponen pun ada perbezaan pandangan tapi yang bagusnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan ditangani secara bijaksana dan bersemuka dalam mesyuarat.
“Jadi perbezaan pandangan itu biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit apa lagi yang tidur sebantal tapi mimpi lain-lain,” ujarnya. – UTUSAN










