KEMAMAN: Seramai 23 penghuni daripada 10 keluarga etnik Rohingya hilang tempat berteduh selepas dua buah rumah yang didiami mereka hangus dijilat api dalam kebakaran di Kampung Besut, dekat sini, hari tadi.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.35 pagi itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hasbullah Halipah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.39 pagi sebelum 16 anggota dan lima jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran berlaku di dua buah rumah yang bersebelahan dan bercantum. Ketika tiba, api sedang marak dan kita sedaya upaya memadam dan mengawal api daripada merebak ke rumah lain yang sangat rapat dengan kedua-dua rumah itu.
“Struktur dinding kedua-dua rumah yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api cepat merebak dan kedua-dua rumah hangus dijilat api,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mohd. Hasbullah berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.
“Ketika kejadian, difahamkan terdapat beberapa penghuni di dalam rumah tersebut, namun mereka sempat keluar menyelamatkan diri.
“Tindakan pantas bomba, kita berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya daripada merebak ke kediaman lain,” katanya.
Menurutnya, punca sebenar kejadian dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – UTUSAN










