MELAKA: Dua ahli politik di negeri ini merupakan antara 10 individu yang pernah disekat ke luar negara, susulan culas melunaskan cukai pendapatan dengan jumlah tunggakan mencecah puluhan ribu ringgit.
Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka, Mohd. Shahriz Ramli berkata, tindakan sekatan perjalanan mengikut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dikenakan terhadap mereka setelah jadual pembayaran secara ansuran tidak dipatuhi.
Beliau berkata, kedua-dua ahli politik yang berusia 40-an itu dikesan tidak membayar cukai sejak beberapa tahun lalu.
“Dua ahli politik ini antara 10 yang dikenakan sekatan kerana mempunyai tunggakan dan kedua-dua mereka diminta membuat bayaran penuh sebelum dibenarkan ke luar negara dalam kejadian tahun ini.
“Kita akan kejar semua individu yang enggan membayar cukai tidak kiralah apa jawatan dia dan kita percaya apa yang terjadi sebelum ini adalah kerana ego memegang status sebagai ahli politik,” katanya ketika ditemui pada Program Libat Urus LHDN Melaka bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Pejabat LDHN Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Shahriz, sebanyak RM1.91 bilion hasil cukai berjaya dikutip pihaknya tahun lalu berbanding sasaran awal ditetapkan iaitu RM1.92 bilion.
Jelasnya, selain ahli politik, beberapa individu berjawatan tinggi termasuk pengarah syarikat turut dikesan sengaja melewatkan pembayaran cukai.
“Mereka ini merupakan golongan yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat tetapi kalau lapisan atas ini sendiri tidak menunaikan tanggungjawab, macam mana?
“Kami juga memerlukan golongan ini dalam program-program bersama masyarakat untuk menyampaikan matlamat kerajaan, kerana itu kita berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN










