JASIN: Cadangan penurunan kuasa penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah sesuatu yang janggal dilakukan, memandangkan ia berkonsepkan strategi lautan biru atau blue ocean strategy.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menjelaskan, perkara sedemikian telah dilakukan sebelum ini membabitkan isu bekalan beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang mana Kawal Selia Padi dan Beras menurunkan kuasa penguatkuasaan kepada KPDN bagi membolehkan pemantauan bersama.
Katanya, adalah mustahil bagi penguat kuasa KPDN untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan di setiap pelosok sesebuah negeri, berbanding sekiranya mendapat bantuan PBT yang lebih mengenali sesuatu kawasan.
“Hari ini kita tidak boleh salahkan pegawai KPDN bila harga makanan ini tidak terkawal, kita lihat bahawa penguatkuasaan itu kurang. Bila kita lihat balik contohnya di Melaka, berapa ramai penguat kuasa KPDN, jadi ia perlu blue ocean strategy.
“Kita ada undang-undang yang baik tetapi kita kurang orang yang buat penguatkuasaan. Bila penguatkuasaan rendah tidak boleh dilakukan dengan baik, maka apalah gunanya ada undang-undang yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhamad Akmal mencadangkan kepada kerajaan khususnya KPDN supaya penurunan kuasa diberikan kepada agensi penguat kuasa lain seperti PBT bagi membolehkan pemantauan harga barang dilakukan lebih kerap.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali dilaporkan berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan itu.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana setakat ini KPDN sudah menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan dengan cemerlang.
Tambah Muhamad Akmal, cadangan penurunan kuasa itu boleh dipertimbangkan untuk waktu-waktu tertentu seperti ketika menjelang musim perayaan.
“Blue ocean strategy ini maksudnya semua penguat kuasa contohnya PBT boleh bantu bersama. Jadi saya rasa tidak salah untuk kita turunkan bidang kuasa mungkin tidak perlu hari-hari.
“Mungkin untuk musim perayaan hari raya, Deepavali, Tahun Baharu Cina supaya penurunan kuasa ini bukan hanya KPDN sahaja, ia mesti kepada PBT dan agensi yang boleh membantu,” jelasnya. – UTUSAN











