Dr. Akmal Ketua UMNO Bahagian paling muda

Dr. Akmal Ketua UMNO Bahagian paling muda

MUHAMAD AKMAL Saleh tidak mampu menahan sebak selepas diumumkan memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Tuah nampaknya terus menyebelahi Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr. Muhamad Akmal Saleh selepas beliau melakar satu lagi kejayaan memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin, dalam pemilihan semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencatat sejarah tersendiri sebagai pemimpin paling muda berusia 35 tahun dipilih memegang jawatan nombor satu dalam bahagian pada Pemilihan UMNO 2023.

Muhamad Akmal menang dalam saingan empat penjuru meraih 340 undi menewaskan penyandang, Datuk Hasan Rahman yang mendapat 194 undi.

Dua lagi calon yang tewas ialah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (151 undi) dan bekas Bendahari UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohd. Yusof Osman (21 undi).

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin pula, ia dimenangi Azman Abdullah dengan 289 undi menewaskan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Roslan Ahmad (157 undi) dan Akauntan Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz (265 undi).

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin dimenangi ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dengan 353 undi menewaskan Mohd. Sham Dali dan Zainorin Mohd Pilus.

Keputusan tersebut diumumkan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi dengan kehadiran 711 perwakilan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda di sini.

Muhamad Akmal berkata, kemenangan berganda yang diraihnya membuktikan titik permulaan buat pemimpin muda yang mula diterima untuk memikul amanah dan tanggungjawab memimpin bahagian.

Menurutnya, UMNO kini dilanda gelombang baharu yang menuntut perubahan kepemimpinan bagi mengembalikan parti untuk diterima semua lapisan masyarakat dan generasi.

“Alhamdulillah kemenangan saya sebagai bekas Ketua Pemuda Bahagian menang di Jasin tetapi kita orang muda juga turut menang di Alor Gajah dan Tangga Batu.

“Ini juga turut membuktikan satu anjakan paradigma dalam akar umbi UMNO yang mahukan perubahan kepemimpinan di peringkat bahagian diterajui orang muda menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN