MELAKA: Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah menarik diri di saat akhir daripada mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti kali ini.
Mengumumkan perkara tersebut, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada muka baharu, Shahrin Muharam menang jawatan berkenaan tanpa bertanding.
“Saya ingin sampaikan penghargaan tinggi kepada saudara saya (Abu Bakar) kerana berjiwa besar apabila memberi laluan kepada Shahrin yang juga Ketua UMNO Cawangan Terendak Permai menang jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bendahari Bahagian, Datuk Abd. Rahman Bakar yang juga turut menarik diri bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian dan sekali gus memberi laluan kepada penyandang, Datuk Sazali Muhd. Din menang tanpa bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas proses cabutan undi calon di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini, semalam.

Sebelum ini, Abu Bakar memenangi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pada Pemilihan UMNO 2013 manakala Sazali yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput mengekalkan jawatan disandang buat penggal ketiga.
Keputusan tersebut turut menyaksikan hanya Mohamad Ali berdepan satu lawan satu berdepan ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Tambah Mohamad Ali, beliau menyifatkan pemilihan peringkat bahagian ibarat pertandingan dalam sebuah keluarga.
“Yang kalah tidak akan kalah semua dan yang menang tidak menang semua. Saya harap selepas 11 dan 18 Mac ini, hubungan kita semua kembali bertaut bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” ujarnya yang turut bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Sementara itu, isteri kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron iaitu Datin Seri Fadilah Abdullah bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu berdepan penyandang, Datuk Noradibah Abdullah. – UTUSAN










