Lupakah Pas, Abdul Hadi pun pernah bersama DAP - Utusan Malaysia

Lupakah Pas, Abdul Hadi pun pernah bersama DAP

HASLIHELMY DM Zulhasli (berdiri) ketika berucap di Selendang di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang jika terlupa bahawa parti tersebut pernah bekerjasama dan duduk sebelah dengan pemimpin DAP yang kini dianggap berfahaman ekstrem.

Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, Abdul Hadi seharusnya cermin muka sebelum membuat pelbagai dakwaan bertujuan mengelirukan rakyat khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Adakah Abdul Hadi banyak makan semut dan lupa, beliau pun duduk bersama Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan tandatangan dokumen bersama dengan DAP dahulu?

“Abdul Hadi, Pas dan Perikatan Nasional (PN) seharusnya muhasabah diri daripada terus menyalahkan BN yang membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan bersama PH,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan cadangan supaya PN, PH dan BN termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bergabung bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Selepas cadangan itu dikemukakan Al-Sultan Abdullah, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan terbabit tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip parti tersebut.

Dalam pada itu, Haslihelmy menjelaskan tidak timbul soal BN Pahang tamak kerana mahukan jawatan Menteri Besar selain tujuh kerusi exco sekiranya membentuk kerajaan negeri bersama PN seperti didakwa Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ini kerana katanya, tiada satu parti pun memperoleh majoriti dan PN perlu sedar tiada parti sama ada BN dan PH yang mahu bekerjasama dengan gabungan tersebut.

“Apa yang diputuskan BN di negeri ini adalah selari dengan keputusan peringkat Pusat berhubung soal pembentukan kerajaan Persekutuan yang menyaksikan BN setuju bersama PH dan gabungan parti Borneo bagi membentuk kerajaan perpaduan.

“Apa dinyatakan Saifuddin bahawa BN tamak kerana mahu jawatan Menteri Besar selain tujuh kerusi exco jika membentuk kerajaan negeri bersama gabungan tersebut timbul selepas BN telah memperoleh majoriti bersama PH untuk membentuk kerajaan negeri.

“Apabila keputusan diputuskan di peringkat negeri oleh BN dan PH, maka PN juga mahu masuk dalam kerajaan negeri. PN perlu sedar diri bahawa gabungan itu perlu kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri, BN tidak mahu bersama mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya