Pas belum muktamadkan calon untuk menerajui Perikatan Nasional

Pas belum muktamadkan calon untuk menerajui Perikatan Nasional

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas belum memuktamadkan calon daripada parti itu untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan ja­watan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan berkenaan pada 1 Januari lalu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan Pas untuk membuat pilihan dan tidak semestinya beliau yang perlu memegang jawatan tersebut.

Katanya, Pas menunda me­syuarat khas untuk membincangkan perkara berkenaan ke­­pada minggu depan atas sebab-sebab tertentu.

“Ikutlah dua nama (calon) atau satu nama. Saya serah kepada Pusat. Tidak semestinya saya. Saya sedia membantu walau siapa sahaja menjadi Pengerusi PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.

Minggu lalu, Pas dilapor memutuskan menerajui PN dan dijadual mengadakan mesyuarat bagi memilih Pengerusi baharu dalam kalangan pemimpin mereka.

Kemudian, nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas disebut-sebut mampu memperkuat PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Beliau sebelum itu menga­dakan pertemuan dengan Muh­yiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas mandat Presiden Pas sekali gus menguatkan spekulasi pelantikannya sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Ditanya apakah Pengerusi PN perlu dilantik dalam kalangan Presiden parti-parti dalam gabungan itu, Abdul Hadi berkata, ia tiada dalam Perlembagaan PN.

Menurut beliau, PN juga belum mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelantikan Pengerusi baharu memandangkan gabungan berkenaan ketia­daan Setiausaha Agung selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meletak jawatan.

Namun katanya, mesyuarat berkenaan masih boleh diadakan dengan jumlah ahli jawatankuasa yang mencukupi.

Beliau turut meminta parti gabungan supaya tidak perlu khuatir jika pemimpin Pas dilantik menerajui PN dan percaya kebimbangan itu selesai selepas semua urusan berjalan lancar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, Pas kekal dengan pendirian tidak menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis meskipun dipelawa Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Katanya, parti itu tidak berganjak dengan keputusan tidak menerima jawatan tersebut walaupun dipelawa kerana menganggap tindakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) menjatuhkan kerajaan sebagai satu pengkhianatan.

“Sudah buat keputusan, tidak terima,” katanya mengulas kenyataan Abu Bakar yang tetap mempelawa ADUN Pas menyer­tai barisan Exco bakal dibentuknya, walaupun parti itu mengarahkan wakil rakyatnya tidak berbuat demikian.

Menyentuh cadangan mene­tapkan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri selama 10 tahun, Abdul Hadi berkata, kelayakan seseorang pemimpin tidak seharusnya dihadkan tempoh tertentu jika masih layak dan berkemampuan.

Beliau berkata, menurut perspektif Islam, selagi seseorang pemimpin itu layak dan mampu menjalankan tugas, beliau boleh terus berkhidmat.

​“Dalam Islam, selagi orang itu layak, dia boleh jalankan tugas. (Tun) Dr. Mahathir Mohamad umur dekat 100 tahun pun tak ada apa-apa, dia masih boleh berkhidmat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN