Pas tidak bersama kerajaan yang bisu terhadap kezaliman

Pas tidak bersama kerajaan yang bisu terhadap kezaliman

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak akan bersama Kerajaan Perpaduan kerana tidak boleh menerima konsep perpaduan yang membisu terhadap kezaliman serta dosa yang disifatkan sebagai punca berlakunya perpecahan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu membawa konsep perpaduan Islam berteraskan ketetapan Allah, sekali gus menjadi alasan tidak bersama Kerajaan Perpaduan yang berkonsepkan bebas tanpa sempadan ketetapan Ilahi, sebagaimana direalisasikan Pakatan Harapan (PH).

“Konsep perpaduan tersebut melibatkan kumpulan yang menganut fahaman pluralisme, liberalisme termasuk kumpulan ekstrem serta pihak yang membisu terhadap kemungkaran.

“Pas tidak boleh menerima konsep perpaduan khasnya yang membisu terhadap keza­liman dan dosa yang diharamkan oleh Allah yang menjadi sebab berlakunya perpecahan,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas semalam.

Kenyataan Abdul Hadi itu merujuk kepada cadangan penyatuan orang Melayu menerusi gagasan kolaborasi agung yang dizahirkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mengesahkan berlakunya pertemuan dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung cadangan tersebut.

Abdul Hadi berkata, Islam hanya menggariskan dua pendekatan dalam konsep perpaduan umat manusia iaitu perpaduan diwajibkan dan perpaduan yang diharamkan, justeru umat Islam perlu memilih salah satu daripadanya.

Katanya, perpaduan yang diwajibkan dalam Islam adalah tolong-menolong dalam kebajikan dan ketakwaan manakala perpaduan diharamkan adalah kerjasama dalam perkara dosa dan pelanggaran sempadan yang membawa kepada permusuhan.

“Ikatan perpaduan sebenar hanya dapat dicapai dengan berpegang teguh kepada tali Allah iaitu Islam yang berbeza dengan tali ciptaan manusia yang gagal mengikat manusia secara menyeluruh dalam tajuk perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×