Sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar 'pukulan ajaib' untuk UMNO - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar ‘pukulan ajaib’ untuk UMNO – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan merupakan ‘pukulan ajaib’ digerakkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menyelamatkan parti tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menegaskan, UMNO akan berperanan kecil jika berada di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana dilihat sebagai parti jumlah kerusi terendah dalam gabungan tersebut.

“PH hanya memperoleh 11 peratus jumlah sokongan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dengan sokongan UMNO kepada PH, Ahmad Zahid memastikan hak Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan akan dilindungi oleh UMNO dalam kerajaan baharu. Rakyat mengharapkan UMNO sebagai pelindung hak Melayu, Raja Berperlembagaan dan agama Islam.

“Pendirian awal UMNO untuk menjadi pembangkang tidak akan memberi petanda yang baik kepada parti. Kita mempunyai 191 ketua bahagian yang perlu disokong dengan berada dalam kedudukan yang kuat iaitu berada dalam kerajaan. Ketua-ketua bahagian tersebut memerlukan sokongan badan kerajaan untuk berkhidmat kepada akar umbi.

“Tiada sebab untuk bersikap egois dan hilang kepercayaan terhadap orang dalam parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, menerusi kerjasama bersama PH dan mengambil peranan penting dalam kerajaan, UMNO akan dapat mengembangkan kekuatannya untuk menjadi pangkalan kuasa Melayu dan berusaha untuk meraih semula kemenangan pada PRU16.

“Visi Presiden untuk masa depan UMNO mesti difahami oleh setiap pemimpin dalam parti. ‘Pukulan ajaib’ Ahmad Zahid dalam mengawal situasi telah menyelamatkan UMNO itu sendiri,” katanya.

Beliau dalam pada itu menggesa pemimpin UMNO untuk bermuhasabah dan bertanya dengan diri sendiri sejujurnya kenapa dan bagaimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menang besar dalam PRU15, Sabtu lalu.

“Ini kerana mereka berada dalam barisan kerajaan dan mempunyai kedudukan yang kukuh, tiada siapa dapat menafikan ini. Walaupun Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbuat baik dengan tidak memecahkan parti mereka seperti mana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan kepada UMNO.

“Difahamkan Muhyiddin menolak senarai asal Ahmad Zahid dan menamakan yang lain. Perbuatan ini menyebabkan perpecahan dalam UMNO. Marilah kita membuka lembaran baru dan ayuhlah bersatu kembali sekali lagi dengan memberi sepenuh sokongan kepada Presiden untuk memacu parti kita dalam kerajaan perpaduan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya