SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ismail berkata, beliau sentiasa memberi sokongan kepada UMNO yang menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Saya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu sebuah portal berita mendakwa Ismail menandatangani proklamasi bagi menyingkirkan baginda daripada takhta pada 3 Ogos lalu di Port Dickson.
Portal berkenaan yang memetik sumber juga mendakwa terdapat kehadiran beberapa kepemimpinan UMNO termasuk Ahmad Zahid pada ketika itu.
Sebelum ini, menurut kenyataan Sidang Khas dan Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), Ismail telah menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi tersebut ketika menghadap Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.
Majlis itu turut dihadiri Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.
Dalam pada itu, Ismail berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan itu dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang.
“Saya berharap isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN










