PETALING JAYA: Industri Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara semakin diyakini sebagai laluan utama pembinaan bakat dan kerjaya masa hadapan apabila menarik kehadiran seramai 510,151 pengunjung sepanjang tiga hari Sambutan Hari TVET Negara 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemuncak sambutan tahun ini adalah pelancaran TVET 2.0 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, inisiatif itu menandakan satu anjakan besar dalam pembangunan bakat negara melalui sistem latihan yang lebih responsif, fleksibel dan berpaksikan keperluan industri.
“TVET 2.0 bukan sekadar penambahbaikan dasar, tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi baharu, memenuhi keperluan industri masa hadapan dan bersaing di peringkat global.
“Saya turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai kesediaan kerajaan menyediakan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan awal TVET 2.0.
“Langkah ini akan mempercepat usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu lagi pencapaian yang amat membanggakan ialah penganjuran The 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum dan 5th Malaysia-China Vocational Education Fair 2026 (MCIEF 2026).
“Melalui kerjasama strategik Malaysia-China, sebanyak 1,000 tempat biasiswa bernilai hampir RM18 juta; sejumlah 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta serta sumbangan peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta telah diumumkan untuk manfaat pelajar, graduan dan tenaga pengajar TVET negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, prestasi TVET negara turut menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan apabila kadar kebolehpasaran graduan meningkat kepada 95.9 peratus pada tahun lalu berbanding 92.5 peritus pada 2022.
“Lebih membanggakan, terdapat institusi TVET mencatatkan kadar kebolehpasaran yang lebih tinggi, termasuk 98.9 peritus bagi institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan 100 peratus bagi institusi TVET di bawah CIDB.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi alternatif, tetapi telah berkembang menjadi antara agenda nasional terpaling penting dalam membangunkan modal insan Malaysia.
“Kejayaan ini juga memperlihatkan keyakinan industri, sokongan masyarakat serta pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha negara memperkukuh ekosistem TVET,” katanya.
Bertemakan TVET Pilihan Utama Kerjaya, sambutan tahun ini menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu ekosistem yang memperkukuh hubungan antara kerajaan, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
Sebanyak 117 institusi TVET dan industri menyertai Hab Pameran dan Kolaborasi Industri TVET, manakala 30 institusi TVET dari Republik Rakyat China mengambil bahagian dalam Pameran Institusi TVET China.
Selain itu, 28 majikan menyertai Karnival Kerjaya TVET dan 39 usahawan TVET mempamerkan potensi serta kejayaan mereka melalui Hab Usahawan TVET. – UTUSAN










