PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pernah menerima sebarang wang tunai daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).
Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh wakil UKSB tersebut kepada pihak mahkamah, dalam perbicaraan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kononnya UKSB memberikan wang tunai kepada beliau, adalah palsu.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018.
“Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan. Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh yang mana beliau didakwa menerima wang tunai dari UKSB, sebenarnya ketika itu beliau sedang menjalani pembedahan kanser.
“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa,” katanya.
Kata beliau lagi, malah adalah mustahil beliau yang waktu itu sedang menjalani rawatan di sebuah hospital luar negara, boleh menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan sebegitu.
Sebelum ini, nama Muhyiddin ‘tular’ apabila disebut sebagai salah seorang penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn. Bhd.
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan ke-17 (SP17), David Tan dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menunjukkan kandungan buku lejar disimpan dalam sebuah pendrive.
Dalam perbicaraan itu, turut disebut bahawa Muhyiddin didakwa menerima dana tersebut kurang sebulan kembali ke Putrajaya sebagai Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018. –UTUSAN ONLINE










