PH sukar terima Bersatu, tetapi terbuka untuk bincang - Utusan Malaysia

PH sukar terima Bersatu, tetapi terbuka untuk bincang

MOHAMAD Sabu menyampaikan duit raya kepada seorang kanak-kanak sambil diperhatikan Salahuddin Ayub dan Aminolhuda Hassan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Amanah Johor di Kempas, Johor Bahru di sini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) sukar untuk menerima kembali Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PH yang membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tumbang disebabkan Langkah Sheraton pada 2020.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Langkah Sheraton yang diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah satu pengkhianatan yang besar kepada PH akibat ketamakan kuasa untuk memerintah. 

Bagaimanapun, Mohamad berkata, PH terbuka untuk mengadakan perbincangan dan rundingan mengenai kerjasama pada PRU15 kelak, namun keputusan akhir rundingan itu akan diputuskan oleh jawatan kuasa PH.  

“Tak ada masalah untuk bertemu dan berbincang, tapi perasaan kehilangan kerajaan akibat perbuatan dia (Muhyiddin) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih menyala-nyala di hati apabila kerajaan tumbang kerana Langkah Sheraton, bukannya melalui PRU.

“Kenapa nak jatuhkan kerajaan PH dahulu, mereka tak fikir dan inilah akibatnya. 10 tahun lagi pun belum tentu boleh pulih keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi yang ada, ini adalah akibat perbuatan sedemikian rupa.

“Dia kena ingat bahawa dia sudah melakukan pengkhianatan kepada PH, yang itu beratlah dan kena buat sesuatu membuktikan dia tak akan khianat lagi. Rundingan boleh dibuat, tapi jawatan kuasa PH akan tentukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Amanah di Kempas, di sini.

Mohamad mengulas kenyataan kedua-dua gabungan itu wajar duduk semeja untuk membincangkan strategi serta kemungkinan untuk bekerjasama bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-15. 

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan berkata, sudah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengelakkan pertembungan antara PN dan PH dalam PRU15.

Sementara itu, ditanya kemungkinan PH bergerak secara sendiri pada PRU15, Mohamad berkata, pihaknya akan melihat kepada perkembangan dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, PH juga sudah mengadakan beberapa perbincangan serta mengintai peluang untuk mengadakan kerjasama politik dalam PRU-15 menerusi kerjasama yang dilakukan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

“Kita sudah mula mengadakan perbincangan dan rundingan sekarang ini untuk melihat kemungkinan kerjasama yang akan dijalinkan. Saya sendiri tak akan membuat keputusan peribadi dan segalanya bergantung kepada jawatan kuasa PH,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya