KUALA LUMPUR: UMNO yakin mampu mengembalikan kegemilangan negara dalam pelbagai bidang terutama ekonomi dan kebajikan rakyat seperti yang dilaksanakannya dahulu apabila mendesak Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kemerosotan ekonomi negara, kesengsaraan hidup rakyat, penjarahan dan penjualan khazanah negara dan seluruh dunia semakin jauh meninggalkan Malaysia, menuntut UMNO untuk mendirikan semula keruntuhan yang ada.
Katanya, akibat kegagalan dua kerajaan sebelum ini mengurus ekonomi negara dengan baik, berlaku aliran keluar modal asing yang sangat besar, pemberhentian operasi syarikat asing di negara ini dan perpindahan operasi ke negara jiran, memperlihatkan merosotnya keyakinan pelabur kepada negara kita.
“Semua ini (kembalikan kegemilangan) boleh dilaksanakan hanya jika kita ada kemampuan. Kita harus mampu menyelami permasalahan rakyat dan negara, bagi menawarkan jalan keluar yang tuntas,” kata beliau dalam ucapan dasar Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.
Namun, kata Ahmad Zahid, sebagai sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan, UMNO memahami bahawa membubarkan Parlimen perlu mengikut proses yang tertib.
Justeru, menurut beliau, UMNO tidak akan mengganggu urusan tersebut kerana tugas itu akan dilakukan Perdana Menteri yang kemudian akan berurusan dengan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan mengadakan PRU15.
Menyokong PM
Atas sebab itu juga, kata beliau, UMNO menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri tetapi menegaskan, dalam keadaan sekarang UMNO perlu membuat keputusan terbaik demi masa depan parti dan negara.
“Datuk Seri Ismail jagalah kerajaan elok-elok, kita beri dukungan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Insya-Allah, saya dan Tok Mat (Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti.
“Apabila mood dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) berpihak kepada UMNO, jadi PRU15 sewajarnya disegerakan.
“PRN dan PRK ke arah kepada kita, hendak tunggu apa lagi. Bak kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) apa tunggu lama, nanti anak dara dicuri orang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, persetujuan pembangkang untuk menandatangani memorandum persefahaman bersama kerajaan memperlihatkan pembangkang mempunyai muslihat tertentu.
Justeru, beliau mengesa UMNO untuk sedar bahawa pihak lawan itu tidak pernah berhenti daripada berusaha untuk menghancurkan parti.
“Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani MoU, ia bererti mereka ada muslihat tertentu. Saya percaya, mereka menerima kita kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita.
“Actually they never love us! Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Kita kena ingat dan sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita.
“Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi? Kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










