PETALING JAYA: Tindakan menyerahkan sepenuhnya hal ehwal pengurusan ekonomi kepada ahli Parti Bribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakibatkan kerajaan tiada sandaran yang kuat dalam soal pemulihan ekonomi negara.
Veteran politik, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, dalam keadaan geopolitik dunia yang terjejas teruk susulan krisis Rusia-Ukraine, hal itu mengakibatkan rantaian bekalan makanan global menjadi bermasalah dan kerajaan perlu mempunyai dasar ekonomi jelas serta kukuh bagi menghadapi situasi itu.
Namun, katanya, hal itu sukar dilaksanakan kerana percaturan politik semasa mengakibatkan kerajaan terpaksa bergantung kepada ahli Bersatu yang rata-rata memegang portfolio pengurusan ekonomi, sedangkan UMNO sudah menjelaskan pendirian tidak bekerjasama dengan parti itu.
Keadaan itu, katanya, sekali gus menyukarkan kerajaan terdiri daripada gabungan UMNO-Bersatu serta beberapa parti sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN), untuk membentuk polisi ekonomi yang berkesan bagi menghadapi krisis ekonomi global.
“Kita tiada arah lagi. Dengan keadaan kerajaan sekarang, yang mana ideologi pun tiada, sandaran dasar yang kuat pun tiada. Sebab, kerajaan sekarang pun bukan kerajaan UMNO. Macam mana bukan kerajaan UMNO? Sebab UMNO usulkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lepas, tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu.
“Sekarang, penuh dengan orang Bersatu dalam kerajaan. Malah polisi dan dasar pemulihan ekonomi pun, diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bulat-bulat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mengambil langkah bijak mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) bersama pembangkang untuk mewujudkan kestabilan politik, yang mana katanya sangat penting dalam usaha membaik pulih sosioekonomi negara yang terkesan akibat wabak Covid-19 serta masalah ketidakstabilan dunia.
Pun begitu, jelasnya, langkah itu dianggap ‘makan tuan’ kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kegagalan beliau membawa kemenangan kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sedangkan sudah diberi kelebihan melalui MoU dengan pihak kerajaan.
“Cuma kerajaan sekarang ada buat perjanjian dengan pembangkang (MoU) itu boleh dikira agak bijak lah. Dan saya rasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkehendak sangat kepada MoU ini, kerana beliau mahu kedudukan.
“Kalau tidak, beliau akan ditolak oleh sekutu dalam pembangkang. Sekarang dia jadi Ketua Pembangkang yang memimpin blok itu, dengan kedudukan bertaraf menteri pula. Tapi sebenarnya, it is a sell out, it is a complete sell out. Sebab itu, PKR tak laku di Johor,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mendedahkan, terdapat simpanan hidrogen yang banyak di dalam perairan Laut China Selatan (LCS) yang kini menjadi wilayah rebutan banyak negara termasuk kuasa besar dunia iaitu China dan kerajaan digesa menggunakan peluang itu untuk menguasai sumber tersebut.
“Terkini, saya lihat ada beberapa peluang yang boleh diambil. Sebab kalau tengok kepada perkembangan di Asia Tenggara, pasal apa perebutan di Laut China Selatan (LCS)?
“Kerana saya dapat maklumat, ada simpanan hidrogen yang cukup besar di bawah lautan LCS, dan kalau kita boleh kuasai simpanan hidrogen itu, kita boleh buat macam-macam dan boleh jadi negara yang sangat kaya,” katanya. –UTUSAN ONLINE










