Tutup kilang jika terus gaji pendatang asing tanpa izin - Utusan Malaysia

Tutup kilang jika terus gaji pendatang asing tanpa izin

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Majikan yang masih berdegil dan gagal mendaftarkan pekerja tanpa izin di bawah program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat akhir tahun ini, berhadapan tindakan perniagaan ditutup untuk tempoh tertentu.

Cadangan Kementerian Dalam Negeri itu bertujuan menangani lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta keengganan sesetengah majikan yang terus tidak mahu mendaftarkan pekerja tanpa izin walaupun kerajaan melancarkan pelbagai program pemutihan warga asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pandemik Covid-19 mendedahkan satu lagi masalah besar membabitkan warga asing tidak berdaftar.

Katanya, ketika ini ramai warga asing yang meninggal dunia terutama yang mati di rumah atau brought in dead dan kedutaan asing sukar mengenal pasti sama ada mangsa adalah warga mereka kerana tiada dokumen.

Menurutnya, kerajaan sudah memberi masa mencukupi untuk majikan menggajikan pekerja asing secara sah dan tindakan tegas perlu kerana ketidakpatuhan mereka terhadap prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca kes Covid-19 sukar diturunkan.

Katanya, keadaan itu menyukarkan kerajaan menukar status pandemik kepada endemik.

Tempoh penutupan kilang yang melanggar SOP itu yang mungkin sebulan atau dua bulan katanya, masih dalam kajian tetapi akan dikuatkuasakan awal tahun hadapan.

“Sehingga tindakan tegas itu dikuatkuasakan, majikan masih mempunyai peluang mendaftarkan pekerja agar mendapat dokumen pekerjaan yang sah,” katanya dalam temubual kelmarin.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diperkenalkan supaya majikan daripada lima sektor yang mengalami kekurangan pekerja susulan pembekuan pengambilan tenaga kerja asing boleh menggajikan PATI bagi menampung kekurangan tenaga kerja.

Syaratnya ialah majikan perlu memastikan PATI terlibat mempunyai dokumen perjalanan sah, didaftarkan dengan Imigresen untuk diverifikasikan dan mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing daripada Kementerian Sumber Manusia sebelum diluluskan Imigresen.

PATI dari 15 negara antaranya Thailand, Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka sahaja boleh mengikuti program itu yang diluluskan dan akan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara lima sektor yang diluluskan di bawah pelan itu adalah sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.

Hamzah berkata, tindakan tegas itu dibuat susulan terdapat kilang yang diberikan kebenaran beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun didapati tidak mematuhi SOP malah melakukan banyak kesalahan seperti tiada dokumen.
“Cuba kita kira, sudah 18 bulan kita menghadapi Covid-19, kenapa masih ada kilang yang sepanjang tempoh 18 bulan itu, masih tak daftarkan pekerja mereka untuk mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Katanya, ini kerana sikap majikan yang tidak bertanggungjawab dan enggan mengambil peduli soal pematuhan kendiri, sehingga menyukarkan usaha menangani Covid-19.

Malah, katanya, sikap demikian jugalah yang mendorong lambakan mayat pekerja asing yang tidak dapat dituntut kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“Ramai pekerja asing yang tiada dokumen, kemudian kena Covid-19 dan meninggal dunia, jadi tak tahu nak hantar ke mana. Macam mana kita nak hantar? Jadi, disimpan mayat itu. Siapa yang salah? Kerajaan juga yang dipersalahkan,” katanya.

Justeru beliau menyeru majikan mengambil serius perkara ini dan menggunakan sebaik mungkin program yang diumum kerajaan bagi memudahkan urusan dokumentasi pekerja asing, demi memastikan usaha semua pihak membebaskan negara dari pandemik dapat berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN