KOTA TINGGI: Calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mestilah terdiri daripada mereka yang tidak mengkhianati pengundi, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau tidak mahu calon yang ditampilkan kelak akan menjadi ‘katak’ selepas rakyat memberi mandat apabila menang.
“Kita tidak mahu bila berikan dia undi, kemudian lepas menang, lari, tiba-tiba lompat jadi katak, ini semua tidak mahu,” katanya seperti dilaporkan oleh UMNO Online, hari ini.
Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, calon berkenaan juga mestilah mempunyai personaliti memberangsangkan bagi menambat hati pengundi.
Katanya, kriteria utama calon juga mestilah yang berupaya untuk melaksanakan janji-janji yang diberikan kepada pengundi di kawasan yang ditandingi.
Malah, beliau berharap calon tersebut haruslah mereka yang hendak bekerja tidak kira sama ada orang lama atau baharu.
“Saya amat berharap mereka yang ditawarkan sebagai calon adalah yang boleh menunaikan janji dan melaksanakan yang terbaik untuk pengundi. Hendak orang yang bekerja tidak kira sama ada orang lama atau orang baru berpelajaran atau sebaliknya,” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 23 Januari lalu,
Katanya, pelaksanaan PRN seperti termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. –UTUSAN ONLINE