HARGEISA: Somaliland bersedia memberikan akses kepada Amerika Syarikat (AS) ke atas sumber mineral dan pangkalan tentera, menurut seorang menteri, ketika wilayah pemisah Somalia itu berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.
Israel menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengiktiraf kemerdekaan Somaliland pada Disember lalu, sesuatu yang telah diusahakan wilayah itu sejak mengisytiharkan autonomi daripada Somalia pada 1991.
Kerajaan di Mogadishu masih menganggap Somaliland sebagai sebahagian daripada Somalia, walaupun wilayah itu menguruskan hal ehwal sendiri sejak 1991 dengan pasport, mata wang, tentera dan polis sendiri.
“Kami bersedia memberikan akses eksklusif sumber mineral kami kepada AS. Selain itu, kami juga terbuka untuk menawarkan pangkalan tentera kepada AS.
“Kami yakin bahawa kami akan mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat,” kata Menteri di Jabatan Presiden, Khadar Hussein Abdi kepada AFP dalam satu temubual pada Sabtu.
Presiden Somaliland, Abdirahman Mohamed Abdullahi sejak beberapa minggu lalu turut mencadangkan pemberian akses istimewa kepada Israel bagi sumber mineral wilayah itu.
Khadar Hussein berkata, beliau tidak menolak kemungkinan membenarkan Israel menubuhkan kehadiran tentera juga.
Somaliland terletak menghadap Teluk Aden dari Yemen, di mana pemberontak Houthi kerap menyerang aset Israel bagi menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin.
Pegawai Somaliland menyatakan sumber asli termasuk lithium, coltan dan bahan lain yang banyak dicari, walaupun kajian bebas masih kurang.-AFP










