KELETAH kanak-kanak autistik, Joshua Harris yang cuba menyatukan rasa kebersamaan melalui idea ‘kempen jelajah kek antikebencian’ di lebih 60 masjid tempatan di London meruntun hati siapa sahaja yang melihatnya.
Joshua atau dikenali peminatnya sebagai ‘The Joshie-Man’ di media sosial, sudah berjaya mengagihkan ratusan hasil bakerinya kepada jemaah di London, Leicester, Luton, Birmingham, serta bandar asalnya di Peterborough.
Idea kempen Cake not Hate itu tercetus selepas kekecohan yang berlaku akibat insiden kebencian anti-Islam oleh pelampau kanan jauh di bandar Peterborough, England.
Joshua yang berusia 12 tahun yang tidak boleh bertutur dipimpin bapanya, Dan Harris mengunjungi lebih 60 masjid di seluruh United Kingdom (UK) bukan sahaja untuk mengagihkan kek buatan sendiri mereka tetapi bersama misi istimewa yang besar maknanya terutamanya ketika Ramadan menjengah.
Pasangan dua beranak itu akan singgah menyantuni setiap yang hadir bagi menguatkan ukhuwah, mempamerkan sikap saling menghormati yang dianjurkan dalam Islam selain memperkukuh semangat untuk terus beribadat sekali pun berdepan pelbagai bentuk serangan kebencian.
Mereka kini menyasarkan untuk melawat masjid di Türkiye sebagai destinasi seterusnya.
Pada Oktober 2025, seorang pelampau kanan, Alexander Hooper memasuki sebuah masjid di Peterborough dan duduk berhampiran jemaah yang berwuduk sambil membuat kenyataan menghina Islam dan penganutnya.
Polis dikerahkan selepas jemaah melaporkan kejadian itu. Pergelutan kemudian berlaku antara Hooper, 57, dan pegawai polis wanita yang cuba mengeluarkannya dari masjid sebelum dia ditahan dengan bantuan jemaah.
Insiden yang digelar media Britain sebagai ‘insiden Masjid Alma Road’ itu direkodkan sebagai sebahagian daripada siri serangan kebencian pelampau kanan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Susulan kejadian itu, Dan yang juga pengasas badan kebajikan Global Neurodiversity in Business mengambil keputusan melawat masjid bersama anaknya dan kek yang dibakar mereka sebagai tanda sokongan dan menyampaikan mesej ‘Anda tidak keseorangan’.
“Segalanya bermula dengan cara yang tidak disangka. Kami hanya mahu berkongsi mesej solidariti.
“Kami menyerahkannya kepada imam dan berkata kami mahu anda tahu bahawa lelaki ini (Hooper) tidak mewakili Peterborough mahupun masyarakat Britain secara keseluruhan.
“Mereka menerima kami dengan sangat baik, kemudian memberikan maklumat lima atau enam masjid lain di Peterborough,” kata Dan.
Dan berkata, beliau menerima kecaman dan ugutan daripada individu pelampau kanan selepas memuat naik video anaknya mengagihkan kek, yang membuatkan beliau memikirkan kesan perkauman terhadap umat Islam.
“Jika saya sebagai lelaki kulit putih kelas pertengahan yang tinggal di kawasan selesa di sini boleh menerima kebencian seperti ini daripada golongan pelampau kanan, betapa buruknya ia bagi seorang Islam, wanita Islam serta
pendatang Islam lain yang bahasa Inggeris bukan bahasa pertama mereka?,” katanya.
Dan berkata, umat Islam yang ditemuinya memaklumkan mereka tidak keluar pada waktu malam atau membiarkan anak-anak pulang dari sekolah bersendirian kerana bimbang diserang.
Mereka juga takut menerima penghinaan jika memakai pakaian tradisional atau bertutur dalam bahasa asing.
“Ini bukan Britain yang saya mahu wariskan kepada anak saya. Saya tidak mahu dia membesar dalam sebuah negara berpecah-belah, sedangkan saya sentiasa berbangga dengan Britain sebagai tempat yang bertoleransi dan saling menghormati,” katanya.
Beliau menyifatkan anaknya yang dikenali di seluruh dunia sebagai ‘Joshi Man’ merupakan pembuat kek yang hebat. Mereka membuat kek bersama, berkongsi video dan ia menjadi tular di peringkat global.
Mereka berdua sering dilihat mengunjungi masjid di seluruh England dengan memakai kopiah dan jubah kandura ketika mengedarkan kek yang disediakan Joshua.
Joshua, yang berkomunikasi dengan menunjuk huruf pada tanda abjad di lengan bapanya, dikatakan lebih mudah bersosial dan berasa tenang dalam suasana masjid yang damai.
Perjalanan mereka baru-baru ini mencapai detik bermakna apabila diundang ke Madinah di Arab Saudi.

Dalam lawatan tersebut, kempen dua beranak itu menerima sentuhan tempatan yang menghormati varieti kurma terkenal di bandar suci itu, termasuk ajwa dan ambar.
Joshua dibenarkan mengagihkan kurma kepada orang ramai di halaman Masjid Nabawi. Kempen Cake not hate diubah menjadi ‘Dates not hate’ khusus untuk kempen di Arab Saudi.
“Itu pengalaman yang sangat menyentuh perasaan. Layanan yang kami terima amat luar biasa daripada orang di jalanan hingga mereka yang kami temui di dalam masjid,” katanya.
Menurut Dan, mereka teruja untuk mengunjungi Türkiye seterusnya, memuji keindahan seni bina masjid di negara itu yang menurutnya sukar digambarkan sepenuhnya melalui gambar.
Beliau turut menyifatkan perubahan emosi yang dibawa kempen tersebut amat besar walaupun dengan usaha yang kecil.
“Perubahan paling ketara ialah perasaan Joshi kini mempunyai ratusan ribu mungkin jutaan ‘mak cik dan pak cik’ di seluruh dunia yang benar-benar mengambil berat tentangnya. Rasa kasih sayang global itu memberi kami ketenangan,” katanya. –UTUSAN










