WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan beliau akan menghantar sebuah kapal hospital ke Greenland, wilayah autonomi Denmark yang lama menjadi perhatian beliau dan pernah diancam untuk dikuasai secara paksa.
Beliau berkata, kapal itu akan merawat ramai penduduk yang sakit di Greenland, tanpa memberi butiran lanjut mengenai identiti atau bilangan orang yang akan dibantu.
“Kami akan menghantar sebuah kapal hospital hebat ke Greenland untuk menjaga ramai orang yang sakit dan tidak mendapat rawatan di sana. Ia sedang dalam perjalanan!!!” tulis Trump dalam satu hantaran di media sosial.
Hantaran di platform Truth Social itu disertakan imej AI yang kelihatan menunjukkan kapal USNS Mercy sepanjang 272 meter yang biasanya berlabuh di selatan California menuju ke pergunungan bersalji.
Belum jelas sama ada kapal tersebut adalah yang sebenar akan dihantar ke Greenland.
Trump berkata, kapal itu akan dihantar dengan kerjasama Gabenor, Jeff Landry yang dilantik sebagai utusan Trump ke pulau Artik pada Disember lalu.
Semasa sambutan Mardi Gras di New Orleans bulan ini, Landry berkongsi gambar dirinya bersama dua lelaki lain memegang bendera Greenland di salah satu pesta terkenal bandar itu.
“Hebat dapat menjemput sebahagian daripada rakyat Greenland yang hebat,” katanya.
Awal minggu ini, Raja Denmark, Frederik X melawat Greenland ketika kebimbangan meningkat berhubung minat Trump terhadap wilayah itu.
Trump menarik balik ancaman untuk menguasai Greenland bulan lalu selepas mencapai perjanjian rangka kerja dengan Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte bagi memastikan pengaruh AS yang lebih besar di kawasan berkenaan.-AFP










