Lula gesa Trump layan semua negara sama rata

Lula gesa Trump layan semua negara sama rata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menggesa rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya melayan semua negara dengan adil berhubung tindakan beliau menaikkan tarif import global negara itu sebanyak 15 peratus.

Lula berkata, beliau tidak ingin mengulas keputusan Mahkamah Agung negara lain, tetapi berharap hubungan Brazil dengan AS akan kembali normal dalam masa terdekat.

“Saya ingin menyatakan kepada Trump bahawa kami tidak mahukan Perang Dingin baharu. Kami tidak mahu campur tangan dalam negara lain. Kami mahu semua negara dilayan sama rata,” kata Lula kepada pemberita di New Delhi.

Semalam, Trump berkata, beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang kenaikan itu.

Beliau membuat kenyataan itu beberapa jam selepas menandatangani satu proklamasi pelaksanaan tarif global sebanyak 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS untuk membatalkan kebanyakan levi beliau.

Mahkamah Agung AS yang didominasi konservatif membuat keputusan enam lawan tiga pada Jumaat bahawa undang-undang 1977 yang dijadikan asas oleh Trump untuk mengenakan cukai mengejut ke atas sesetengah negara tidak memberi kuasa kepada Presiden untuk mengenakan tarif.

Trump membuat pengumuman tersebut dalam satu hantaran media sosial di mana beliau sekali lagi mengecam mahkamah tertinggi itu atas apa yang didakwanya sebagai keputusan tidak masuk akal dan amat anti-Amerika.

Presiden veteran beraliran kiri itu dijangka mengadakan lawatan ke Washington bulan depan untuk pertemuan dengan Trump.

“Saya yakin hubungan Brazil-AS akan kembali normal selepas perbincangan kami,” kata Lula, 80, sambil menambah  Brazil hanya mahu hidup dalam keamanan, menjana pekerjaan dan meningkatkan kehidupan rakyatnya.

Lula dan Trump berada di pihak yang bertentangan berhubung isu seperti multilateralism, perdagangan antarabangsa dan usaha menangani perubahan iklim.

Bagaimanapun, hubungan antara Brazil dan AS dilihat semakin baik selepas beberapa bulan ketegangan antara Washington dan Brasilia.

Akibatnya, pentadbiran Trump mengecualikan beberapa eksport utama Brazil daripada tarif 40 peratus yang dikenakan ke atas negara Amerika Selatan itu tahun lalu.

“Dunia tidak memerlukan lebih banyak kegelisahan, ia memerlukan keamanan,” kata Lula, yang tiba di India pada Rabu bagi menghadiri persidangan mengenai kecerdasan buatan (AI) dan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Lula turut memuji Modi selepas India dan Brazil bersetuju meningkatkan kerjasama dalam mineral kritikal dan logam tanah serta menandatangani beberapa perjanjian lain pada Sabtu.

“Saya mempunyai banyak keserasian dengan Modi,” katanya.

Lula dijangka meneruskan lawatan ke Korea Selatan pada Ahad untuk mengadakan pertemuan dengan Presidennya, Lee Jae Myung dan menghadiri forum perniagaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×