PRN Johor: Khairuddin seru UMNO, Pas hayati piagam MN - Utusan Malaysia

PRN Johor: Khairuddin seru UMNO, Pas hayati piagam MN

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyeru ahli UMNO dan Pas menghayati piagam Muafakat Nasional (MN) yang menyebut ‘asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, ijma’ dan Qias’. 

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas itu berkata, pas masih berpendirian memperkasakan MN sebagai dasar semasa Ta’awun Siyaasi Pas yang mana dasar itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan diluluskan oleh dua Muktamar Tahunan Pas pada 2018 dan 2019. 

Oleh itu, katanya, perkara itu telah termeterai dalam bentuk perjanjian yang dipanggil Piagam MN yang dibuat antara Pas dan UMNO dengan ditandatangani oleh pimpinan dua parti disaksikan ribuan pimpinan tinggi dan pertengahan kedua-dua parti dalam himpunan bersama pada 14 September 2019, lalu. 

“Dalam teks perjanjian Piagam MN ini disebut “asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qias’.

“Ia bermaksud sebarang perselisihan yang timbul antara dua pihak perlu dirujuk kepada al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang juga menjadi dasar rujukan Pas dan ia menepati maksud Piagam Madinah di zaman Rasulullah yang menyebut ‘dan sesungguhnya kamu apa pun perselisihan dalam sesuatu perkara, maka, tempat kembali rujukannya ialah Allah dan Muhammad’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Justeru, beliau berkata, apabila timbul isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sudah mula dilihat ada kalangan ahli kedua parti mula menyerang satu sama lain dalam media sosial dengan membangkitkan isu-isu lama pertembungan antara Pas, UMNIO selama 40 tahun sebelum 2018. 

Katanya, serang menyerang itu tidak menyumbang kepada persefahaman dan perpaduan umat yang mahu dibina. Ia tidak selaras dengan tuntutan al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas yang kedua-dua parti persetujui. 

“Jalan perundingan antara parti adalah jalan penyelesaian yang perlu dibuat untuk memastikan kemenangan terbaik untuk politik Melayu Islam. Jika platform bersama gagal dicari untuk berpilihan raya, masih boleh diuruskan perundingan kerusi secara harmoni.

“Ia perlu dibuat dengan hati yang sejuk dan jiwa yang tulus tidak bermotifkan kuasa untuk kelompok sendiri semata-mata. Saya menyeru ahli kedua parti untuk menghayati perkara ini,” katanya. 

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor selepas baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad. 

Barisan Nasional (BN) Johor bercadang bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN itu. 

Bagaimanapun, Pas Johor memaklumkan akan mengadakan rundingan dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk kerjasama menghadapi PRN Johor bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya