NEW DELHI: Seorang lelaki India menggali semula mayat kakaknya dan membawanya ke sebuah cawangan bank untuk membuktikan wanita itu sudah meninggal dunia selepas dia tidak dibenarkan mengakses akaun bank berkenaan tanpa sijil kematian, kata pihak bank.
Jitu Munda, daripada komuniti puak yang diiktiraf perlembagaan di negeri timur Odisha, pergi ke cawangan Bank Indian Overseas pada Isnin untuk mengeluarkan wang daripada akaun kakaknya yang telah meninggal dunia.
Namun kakitangan bank memberitahunya pengeluaran oleh pihak ketiga tidak dibenarkan tanpa kebenaran yang sah.
“Marah kerana tidak dapat membuat pengeluaran tanpa sijil kematian, Munda kembali ke bank sambil membawa mayat kakaknya yang telah dikebumikan beberapa hari sebelumnya,” kata pihak bank.
Saluran televisyen menyiarkan rakaman Munda membawa apa yang kelihatan seperti mayat yang dibalut plastik sebahagiannya, dengan kaki rangka kelihatan dan dipikul di bahunya.
“Ini telah mewujudkan situasi yang sangat menyedihkan di premis tersebut,” kata bank itu.
Bank turut menyatakan insiden itu berpunca daripada kekurangan kesedaran dan keengganan individu tersebut untuk mengikut prosedur.
“Tuntutan akan diselesaikan dengan segera selepas sijil kematian dikemukakan,” tambahnya.
Pendaftaran kelahiran dan kematian adalah wajib di India. Namun, masih terdapat jurang dalam dokumentasi, terutama di kawasan luar bandar, menyebabkan banyak keluarga tidak memiliki sijil rasmi.-AFP










