GEORGE TOWN : Sekurang-kurangnya lapan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) telah dikenal pasti terlibat dalam tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah minggu lepas.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini, kesemua penuntut tersebut telah menerima bantuan yang sewajarnya daripada Yayasan Perkasa Siswa yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hirman Awang.
Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa kebakaran itu merupakan penuntut tahun pertama di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Sitti Farhana Nasib yang menerima sumbangan tunai sebanyak RM3,000, hari ini.
“Walaupun dia (Sitti Farhana) berada di sini, namun, saya percaya bahawa apa yang dialami oleh keluarganya, rumahnya yang musnah sama sekali, tentunya beliau memerlukan bantuan daripada pihak kita.
“Jadi, saya telah maklumkan kepada Encik Hirman (Awang) supaya terus melihat dan memastikan kalau ada lagi kes-kes yang seperti ini atau mereka yang tidak memaklumkan kepada kita supaya kita dapat memberikan bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Beliau ditemui semasa menghadiri Forum Pendidikan Malaysia-Turkiye 2026 yang diadakan sempena program Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye berkaitan Pendidikan Tinggi yang berlangsung selama tiga hari di USM, hari ini.
Selain forum, Zambry yang ditemani oleh Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed turut meluangkan masa menyertai sesi ‘Meet & Greet’ bersama bekas bintang Arsenal dan Jerman, Mesut Ozil selain meninjau klinik bola sepak yang diadakan bersempena program berkenaan.
Mengulas mengenai forum pendidikan tersebut pula, Zambry berkata, ia merupakan sebahagian daripada inti pati mesyuarat tahunan itu yang dianggap sebagai platform penting bagi membentuk kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua buah negara.
Beliau berkata, forum tersebut akan diadakan secara bergilir antara Malaysia dan Turkiye bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, pertukaran akademik dan program mobiliti pelajar.
“Jadi, ini bukan sekadar mesyuarat biasa, tetapi, satu kerjasama serius dalam bidang pendidikan tinggi antara dua buah negara. Pelbagai perkara telah kita sentuh dan setuju untuk bekerjasama termasuk urusan penyediaan biasiswa oleh kedua-dua buah negara,” ujar beliau.
Semalam, Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk menubuhkan sebuah institut akademik bagi memperluaskan bidang kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang pendidikan tinggi susulan satu pemeteraian perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak.-UTUSAN










