WASHINGTON: Pentagon secara rasmi memohon untuk menukar nama Jabatan Pertahanan kepada Jabatan Perang yang dianggarkan bakal menelan belanja lebih daripada AS$50 juta (RM197.5 juta).
Pejabat Penasihat Am Pentagon telah mengemukakan cadangan untuk meminda undang-undang bagi menukar nama tersebut, walaupun nama baharu itu sebenarnya sudah mula diguna pakai sejak Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, mengeluarkan garis panduan susulan perintah eksekutif Presiden, Donald Trump pada September lalu.
Penyokong perubahan ini menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha memulihkan tatanama sejarah yang merujuk kepada Jabatan Perang sebelum tahun 1947.
“Di bawah nama inilah Jabatan Perang, bersama Jabatan Tentera Laut yang ditubuhkan kemudian, telah memenangi Perang 1812, Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, sekali gus mencetuskan rasa kagum serta keyakinan terhadap kekuatan ketenteraan negara kita,” menurut perintah eksekutif asal Trump.
Bagaimanapun, langkah ini tidak terlepas daripada kecaman. Pihak pengkritik mempersoalkan simbolisme di sebalik pertukaran nama tersebut yang kedengaran lebih agresif, selain menyifatkannya sebagai pembaziran besar yang tidak perlu.
Kos tersebut melibatkan pengemaskinian papan tanda serta rujukan rasmi di seluruh cawangan organisasi gergasi itu di peringkat global.
Kritikan ini muncul ketika pentadbiran Trump pada masa yang sama berikrar untuk menghapuskan pembaziran, penipuan, dan penyalahgunaan dana di peringkat persekutuan.
Pentagon telah mula membuat perubahan pantas pada papan tanda utama di ibu pejabatnya di Washington. Dalam usaha untuk kelihatan menjimatkan kos, pihak pengacara berkata mereka akan menggunakan stok sedia ada seperti kepala surat sehingga habis sebelum menggantikannya dengan bekalan baharu yang menggunakan nama Jabatan Perang.
Bagi melaksanakan keseluruhan perubahan tersebut, Pentagon menerusi cadangan terbaharunya menganggarkan perbelanjaan kira-kira AS$44.6 juta (RM176.2 juta) pada tahun fiskal ini merangkumi agensi-agensi pertahanan, tambahan AS$3.5 juta (RM13.8 juta) bagi jabatan-jabatan ketenteraan dan AS$3 juta (RM11.8 juta) untuk pejabat setiausaha pertahanan serta ibu pejabat di Washington.
Satu lagi peruntukan sebanyak AS$400,000 (RM1.5 juta) akan digunakan untuk menyelaras pertukaran nama tersebut di pejabat-pejabat Ketua Turus Bersama, pelbagai markas pemerintah tempur dan di Biro Pengawal Kebangsaan. -AGENSI










