KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa hampir kesemua transaksi derma RM19.5 juta kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disertakan dengan surat sokongan (cover letter) yang menyatakan hasrat mereka untuk membuat sumbangan kepada parti politik itu.
Ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat PKNS Shah Alam, Norazeanti Miswan bersetuju bahawa semua cek jurubank (banker’s cheque) dan transaksi dilakukan Mamfor Sdn. Bhd. adalah telus.
Norazeanti juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa surat berkenaan diberikan kepada ibu pejabat Bersatu dan telah ditujukan kepada bendahari parti itu.
Amer Hamzah: Kesemua cek juruwang ini dan semua surat sokongan jelas membuktikan sumbangan Mamfor kepada Bersatu adalah sumbangan yang telus?
Norazeanti: Setuju.
Amer Hamzah: Dan sumbangan berkenaan dibuat kepada Bersatu, bukan Muhyiddin?
Norazeanti: Setuju.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian dalam perbicaraan hari ketujuh kes guna kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Muhyiddin berkaitan Projek Jana Wibawa.
Bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin, 76, atau nama sebenarnya Mahiaddin Yasin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut daripada tiga buah syarikat termasuk Mamfor.
Sementara itu ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat dan Noralis Mat, saksi itu memberitahu akaun Mamfor telah diarahkan untuk ditutup kerana tidak mematuhi kontrak.
Jelas Norazeanti, arahan tersebut diberikan oleh ibu pejabat bank berkenaan selepas pihaknya membuat laporan berhubung transaksi-transaksi yang dilakukan di antara tahun 2021 sehingga penghujung 2022.
“Akaun pelanggan telah diarahkan untuk ditutup oleh ibu pejabat kerana did not meet contractual requirement between Bank and Customer in terms of Terms and Condition (tidak memenuhi keperluan kontrak di antara bank dan pelanggan dari segi terma dan syarat),”katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui secara spesifik pelanggaran yang dibuat kerana pihaknya hanya bertanggungjawab untuk membuat laporan sahaja.
Norazeanti berkata walaupun transaksi itu dilakukan oleh pelanggan bank, namun sekiranya terdapat keraguan sama ada benda itu betul atau tidak betul pihaknya perlu melaporkannya.
“Betul atau salah pada saya bukan isunya tetapi jika timbul sahaja keraguan itu adalah menjadi tanggungjawab untuk melaporkan.Jadi apabila ada sahaja yang lain dari kebiasaan saya rasa adalah menjadi tanggungjawab untuk melaporkannya,” kata saksi itu.
“Saya percaya tanggungjawab sebagai pegawai bank adalah untuk melaporkan sebarang transaksi atau aktiviti mencurigakan melalui proses questionable activity report iaitu internal STR kepada pihak ibu pejabat, tetapi saya tidak pasti tindakan susulan atau proses selanjutnya dilakukan pihak ibu pejabat,”katanya.
Semalam, saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu, terdapat 29 transaksi pengeluaran wang melalui cek jurubank (banker’s cheque) daripada Mamfor kepada Bersatu telah ditandakan (flagged) sebagai questionable activity report (aktiviti yang diragui).
Menjelaskan lebih lanjut, saksi itu menyatakan transaksi itu dianggap mencurigakan kerana ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat.
“Tidak pernah (ada) pelanggan membuat banker’s cheque dalam beberapa transaksi dalam hari yang sama untuk penerima yang sama,”katanya.
Tambahnya, bermula tahun 2023 sehingga akaun Mamfor ditutup pada pada 26 Februari 2025 tiada sebarang transaksi kepada Bersatu atau mana-mana parti politik lain.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 25 Mei ini.-UTUSAN










