GAZA: Mahkamah Israel pada Selasa melanjutkan penahanan Pengarah Hospital Kamal Adwan di Semenanjung Gaza, Dr. Hussam Abu Safiya tanpa sebarang pertuduhan dikenakan terhadap beliau.
Beliau turut dilayan dengan teruk serta dinafikan rawatan perubatan, menurut Anadolu.
Hussam yang juga seorang pakar pediatrik, ditahan pada 27 Disember 2024 ketika tentera Israel menyerbu hospital tersebut di bandar utara Beit Lahia di bawah ancaman senjata selepas fasiliti itu dimusnahkan dan tidak lagi beroperasi.
“Mahkamah Daerah Beersheba pada pagi Selasa meluluskan lanjutan penahanan Hussam di bawah Undang-undang Pejuang Tidak Sah tanpa sebarang pertuduhan, serta menolak permintaan pembela untuk pembebasan segera beliau,” kata organisasi Persatuan Doktor untuk Hak Asasi Manusia Israel dalam satu kenyataan.
Undang-undang Pejuang Tanpa Status Sah membenarkan pihak berkuasa Israel menahan rakyat Palestin dari Gaza untuk tempoh panjang tanpa perbicaraan.
Walaupun mahkamah Beersheba telah melanjutkan penahanannya selama enam bulan pada Oktober 2025, kumpulan itu berkata, pihak berkuasa kini memberi isyarat lanjutan terbaharu ini bersifat ‘tidak terbatas’.
“Mahkamah mengekalkan penahanan itu walaupun terdapat hujah bahawa menahan seorang doktor ketika menjalankan tugas perubatan adalah penahanan yang tidak sah.
“Hussam kini ditahan di Penjara Negev dalam keadaan yang keras, tanpa akses kepada ubatnya atau rawatan perubatan, walaupun kesihatannya semakin merosot,” kata kumpulan hak asasi itu memberi amaran.
Israel terus menahan Hussam walaupun beliau berulang kali menafikan terlibat dalam sebarang aktiviti di luar tugas perubatannya, serta mengabaikan gesaan daripada kumpulan hak asasi Israel, Palestin dan antarabangsa yang meminta pembebasannya segera.
“Hussam telah bekerja tanpa henti menguruskan hospital, memberikan rawatan penting kepada kanak-kanak dan menyaksikan sendiri kejatuhan sistem kesihatan Gaza di bawah apa yang digambarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
“Beliau terus bekerja walaupun selepas kematian tragik anaknya sendiri dalam serangan udara Israel. Seperti ramai petugas kesihatan lain, beliau ditahan ketika sedang merawat pesakit dan menjalankan tugas perubatannya,” kata Amnesty International dalam laporan sebelum ini.-AGENSI










