Status Ketua Pembangkang jejas fungsi semak, imbang

Status Ketua Pembangkang jejas fungsi semak, imbang

Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidakpastian berhubung status Ketua Pembangkang ketika ini boleh menjejaskan fungsi semak dan imbang yang sepatutnya dimainkan oleh blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Penyelidik Kajian Geopolitik dan Elektoral Borneo (GeoPES), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, keadaan itu turut memberi kesan kepada moral penyokong serta keupayaan pembangkang bertindak secara kolektif dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Katanya, ia juga berpotensi mewujudkan kekosongan kepimpinan dalam blok pembangkang sekali gus melemahkan penyelarasan strategi dalam kalangan Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan berlangsung.

“Tanpa nakhoda yang rasmi, penyelarasan strategi antara ahli parlimen pembangkang menjadi lemah serta tidak tersusun ketika sesi perdebatan berlangsung. Ini memberikan kelebihan naratif kepada pihak kerajaan untuk mendominasi sidang parlimen sepenuhnya tanpa tentangan berkesan.

“Secara logik dan praktikalnya, selagi surat rasmi tidak dihantar oleh Hamzah Zainudin, kedudukan beliau kekal tergantung. Ketidakpastian ini sebenarnya boleh menjejaskan moral penyokong akar umbi dan melumpuhkan fungsi semak dan imbang yang seharusnya dimainkan oleh blok pembangkang secara kolektif demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Kelewatan mengesahkan peletakan jawatan ketua pembangkang akan mencetuskan vakum kepimpinan yang kritikal dalam blok pembangkang di Dewan Rakyat kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tiada sebarang keputusan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang selagi Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menghantar surat rasmi peletakan jawatannya sendiri.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, jawatan tersebut sebelum ini dipegang oleh Hamzah, justeru Dewan Rakyat memerlukan surat rasmi daripadanya sendiri bagi sebarang keputusan berkaitan.

Mengulas lanjut, Syahruddin berkata, perkembangan itu juga secara tidak langsung mencerminkan ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) selain menimbulkan persepsi negatif terhadap kestabilan gabungan tersebut.

Katanya, ketiadaan perancangan penggantian yang jelas serta komunikasi dalaman yang tidak tersusun boleh melemahkan pengaruh politik PN sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada.

“Saya yakin bahawa situasi ini secara tidak langsung telah mendedahkan keretakan dan ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan tertinggi gabungan PN pada masa kini.

“Kelewatan dalam menghantar surat peletakan jawatan rasmi menunjukkan kegagalan komunikasi dalaman dan ketiadaan pelan penggantian yang jelas serta teratur,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kedudukan Ketua Pembangkang merupakan jawatan rasmi yang diiktiraf Dewan Rakyat serta memainkan peranan penting sebagai wakil utama blok pembangkang dalam sistem Parlimen.

Katanya, sebarang ketidaksepakatan dalam menentukan jawatan tersebut mencerminkan masalah dalaman yang boleh menjejaskan keyakinan penyokong terhadap PN.

“Jawatan Ketua Pembangkang penting menggambarkan siapa yang mewakili pembangkang dalam Dewan Rakyat. Namun ketika ini, PN dilihat tidak sepakat kerana Bersatu dan Pas mempunyai pandangan berbeza mengenai pelantikan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.

“Dalam hal ini, apabila Bersatu memberi laluan kepada Pas sebagai Pengerusi PN, Pas sepatutnya bertolak ansur dan tidak berkeras mahu Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.

“Keadaan ini jelas menunjukkan wujud ketidaksepakatan dalam kalangan pembangkang dan boleh menjejaskan keyakinan penyokong terhadap PN khususnya dalam menentukan jawatan penting seperti ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN