KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan kelab Liga Malaysia yang menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila berdepan masalah kewangan.
Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, tindakan menyalahkan FAM dan MFL adalah tindakan yang tidak bertanggngjawab kerana pihak yang menguruskan kewangan adalah kelab masing-masing.
“Kita semua perlu lihat asas iaitu empat masalah utama dalam bola sepak Malaysia dahulu. Pertama kita tiada pembangunan akar umbi yang kompetitif, kedua saya pernah suarakan pada 2018 iaitu pengadil profesional. Ketiga, penaja dan akhir sekali adalah disiplin mengurus kewangan.
“Apabila ada isu kewangan ada pihak mula buat salah satu benda tidak bertanggungjawab, salahkan FAM dan MFL sedangkan yang mengurus kewangan adalah kelab masing-masing,” titah baginda
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail mengejutkan wakil-wakil kelab apabila turut menyertai perbincangan meja buat antara MFL dan wakil pasukan yang berlangsung hari ini.
Dalam perbincangan itu, baginda turut menyuarakan pandangan selain turut menyerahkan kertas kerja berhubung cadangan untuk perubahan bola sepak Malaysia demi ke arah lebih baik.
Pada ucapannya ketika sesi meja bulat itu, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa terdapat beberapa perkara asas yang perlu diambil perhatian serius dan masalah itu sebenarnya sudah disuarakan baginda sebelum ini.
“Kalau betul nak majukan liga kita, kita kena berani berubah. Saya cadangkan satu model baharu yang lebih terbuka dan memberi ruang kepada semua pihak termasuk penyokong untuk terlibat secara langsung,” kata Baginda.
Sebelum ini, cadangan mengadakan sesi perbincangan terbuka itu timbul susulan beberapa isu berbangkit dalam Liga M yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
Beberapa kelab antaranya Penang FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC (TFC), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan serius bagi melihat masalah yang dihadapi semua pasukan demi kelangsungan Liga M pada masa akan datang.
Antara isu yang menjadi perhatian adalah ketidakstabilan pengurusan kelab serta kebimbangan terhadap kelestarian jangka panjang Liga Super.
Selain itu, beberapa kelab sebelum ini turut menyuarakan keperluan kepada pendekatan baharu dalam pengurusan liga termasuk cadangan penstrukturan semula dan model kewangan yang lebih realistik.
Bertindak atas perkembangan semasa, MFL menganjurkan sesi meja bulat yang dilihat sebagai titik permulaan ke arah reformasi lebih menyeluruh, sekali gus memberi harapan baharu kepada semua pihak yang terlibat dalam arena bola sepak tempatan.-UTUSAN










