TANAH MERAH: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan Parti Wawasan Negara sebagai ‘rumah’ baharu bagi pasukan reset.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, nama tersebut diberikan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, mesyuarat agung pertama akan diadakan pada minggu hadapan.
“Kami ini baru dilahirkan dan tidak dijaga oleh Ayah Chik (Tan Sri Abdul Hadi).
“Jadi, kami mahu bersama-sama dengan Pas, Gerakan dan parti-parti lain. Insya-Allah, kita akan bersama-sama membentuk kesepakatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Taman Harmoni di sini hari ini.
Pada konvensyen itu, bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, digantung dan diberi amaran turut hadir memberi sokongan.
Pemimpin yang hadir antaranya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan ramai lagi. – UTUSAN










