Pertahan kebebasan Selat Melaka

Pertahan kebebasan Selat Melaka

DR. SALAWATI MAT BASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selat Melaka perlu kekal bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa besar dunia bagi mempertahankan kestabilan geopolitik dan ekonomi, khususnya di Asia Tenggara bagi mengelak konflik seperti di Selat Hormuz.

Selat Melaka merupakan laluan air terpenting di dunia dengan pada 2025 sahaja, sebanyak 102,525 kapal pelbagai jenis melapor kepada Strait of Malacca and Singapore Ship Reporting System (STRAITREP).

Berdasarkan statistik STRAITREP tahun sama, direkodkan sebanyak 22,053 kapal tangki, 4,911 kapal gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG), kapal kargo (9,137), kapal kontena (26,856) dan kapal pukal (20,913) menggunakannya sebagai laluan utama.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana pada 2022 sebanyak 82,819 kapal direkodkan, kemudian bertambah kepada 89,390 kapal 2023 dan 94,301 kapal pada 2024.

Selat sepanjang 900 kilometer itu merupakan ‘lebuh raya’ yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan (LCS), khususnya dalam penghantaran minyak dan gas dari Timur Tengah ke Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, disebabkan kepentingan Selat Melaka, ia berpotensi menjadi sasaran seterusnya kuasa besar dunia untuk menekan satu sama lain.

Katanya, antara yang dilihat sedang menyasarkan penguasaan ke atas Selat Melaka ialah Amerika Syarikat (AS) apabila mengadakan Major Defense Cooperation Partnership (MDCP) dengan Indonesia dengan meminta hak laluan udara tentera milik negara tersebut.

“Tidak mengejutkan kalau sebenarnya niat utama AS mengadakan perjanjian dengan Indonesia itu adalah untuk mengukuhkan cengkaman di Selat Melaka kerana ini laluan tersibuk di dunia. Jika ia disekat seperti yang berlaku di Selat Hormuz sudah pasti China tidak akan berdiam diri.

“Bahayanya perjanjian ini adalah ia akan membawa kepada ketidakstabilan negara-negara di rantau ASEAN, sekali gus membawa kepada pergolakan yang menjejaskan geopolitik antarabangsa bahkan ekonomi Malaysia itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada separuh pertama tahun lalu, kira-kira 23.3 juta tong minyak dihantar melalui Selat Melaka setiap hari menjadikan laluan itu merupakan titik sempit transit minyak terbesar dunia.

Salawati berkata, Selat Melaka terbahagi kepada tiga bahagian iaitu laluan dikawal oleh Malaysia, Indonesia dan antarabangsa, namun sekiranya mana-mana laluan dipengaruhi kuasa besar seperti AS, ia bakal memberi kesan buruk kepada rantau ini.

“Walaupun Malaysia mengambil berpendirian untuk kekal bebas daripada pengaruh mana-mana kuasa besar tetapi apa yang boleh kita lakukan sekiranya bahagian-bahagian lain dikawal oleh mereka dengan teknologi canggih dan sebagainya.

“Ia bukan saja merisikokan malah menjejaskan kedaulatan negara serta kestabilan rantau ini. Jadi amat penting untuk ASEAN bersungguh-sungguh membendung daripada perkara ini berlaku.

“Jika pengaruh AS semakin luas di jalan laut dan udara di Asia Tenggara ini, ada kemungkinan rantau ini akan melihat pertembungan kuasa-kuasa besar tetapi apa yang menyedihkan adalah ASEAN akan hilanglah dasar ‘centrality’ dipegang selama ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis industri perkapalan dan logistik maritim, Nazery Khalid berkata, secara geografi, Selat Melaka menyediakan laluan maritim penting kepada perdagangan antara dunia Barat dan Timur, selain menjadi nadi kepada banyak negara di Asia Tenggara dan Asia Timur.

Katanya, ia menjadi pemudahcara hampir sepertiga dagangan maritim global serta dagangan minyak global dan merupakan laluan amat penting kepada armada laut yang disebut sebagai ‘sea line of communication’ dengan nilai strategik tinggi.

“Kuasa-kuasa ekonomi Asia Timur amat bergantung kepada Selat Melaka sebagai nadi impot dan ekspot mereka yang sebahagian besar diangkut menggunakan kapal. Kebergantungan kepada minyak impot dari Timur Tengah menjadikan ia satu laluan sangat penting dan strategik.

“China terutamanya menganggap selat ini sebagai lorong maritim sangat besar kepentingannya, ia malah mengungkapkan istilah ‘Dilema Melaka’ hampir 20 tahun lalu yang menggariskan kebimbangan terhadap kemungkinan laluan ini terganggu sekiranya tercetusnya konflik di rantau ini.

“Paling dirisaukannya adalah sekiranya selat ini ditutup sepenuhnya oleh kuasa besar tentera laut seperti AS,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepentingan kepada kesejahteraan ekonomi dan nilai strategik kepada China, tidak mustahil sekiranya AS mengambil langkah menutup Selat Melaka bagi mengganggu aliran dagangan maritim China sebagai strategi mengucar-kacirkan ekonomi.

Katanya, sebarang tindakan seperti menyekat atau menutup Selat Melaka akan memberi implikasi amat buruk kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia disebabkan kebergantungan tinggi di laluan tersebut.

“Ia akan mewujudkan kesan domino akibat gangguan pergerakan kapal atau penutupan Selat Melaka mendatangkan kesan yang sangat meluas, bukan terhad kepada pelabuhan-pelabuhan sahaja.

“Aliran dagangan negara akan terjejas, sektor logistik yang menyokong dagangan kita juga terganggu, aktiviti perniagaan dan industri terkesan bahkan rakyat secara keseluruhannya merana akibat kenaikan harga barang, kehilangan pekerjaan dan kegawatan ekonomi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN