PETALING JAYA: Tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun perlu segera dibawa balik dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum dan mengikuti perkembangan tiga ekor gajah yang berada di Osaka itu.
Kata beliau, keadaan mamalia berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.
“Sehubungan itu, saya juga turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang DAK ke Malaysia.
“Dan seterusnya ditempatkan di PKGK Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan menggesa tiga ekor gajah itu dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata,, perjanjian berkaitan pemindahan ketiga-tiga gajah itu dimeterai secara langsung antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Zoo Tennoji melalui kaedah Business to Business (B2B).
Wan Rosdy dalam pada itu berkata, PKGK Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah khususnya daripada segi interaksi sosial, ruang pergerakan serta kesejahteraan psikologi haiwan.
“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya. Dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya.-UTUSAN










