The Textile Project Soirée: Arja Lee mahu angkat warisan tekstil tradisional negara - Utusan Malaysia

The Textile Project Soirée: Arja Lee mahu angkat warisan tekstil tradisional negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Arja Lee berbesar hati apabila pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Malaysia Craft Council (MCC) yang disertainya menganjurkan The Textile Project Soirée, di Bangunan Sultan Abdul Samad, pada 26 April lalu.

Difahamkan, majlis tersebut merupakan usaha mengangkat warisan tekstil tradisional negara ke tahap lebih tinggi, khususnya terhadap seni sulaman kelingkan dan songket Kelantan yang kian pupus akibat kekurangan penggiat.

Menurut Arja, keindahan seni kelingkan dan songket Kelantan bukan sekadar terletak pada hasil akhirnya, tetapi pada proses pembuatannya yang penuh kesabaran, ketelitian dan jiwa.

“Keindahan songket dan kelingkan ini datang daripada pembuatnya. Mereka menggunakan benang emas atau perak dan bekerja dengan penuh tenang, teliti serta sabar.

“Bila tenang, hasilnya juga halus. Ada yang menyulam selepas tengah malam sehingga sebelum subuh kerana ketika itu suasana sangat damai,” katanya.

Tambah Arja, kesedaran terhadap nilai seni kraf tradisional itu perlu diperkukuhkan agar ia tidak terus dipinggirkan oleh arus fesyen moden.

“Ramai yang masih belum nampak nilai warisan ini. Bila tidak kenal, mereka tidak akan menghargai. Sebab itu saya harap lebih ramai selebriti Malaysia tampil memakai kelingkan dan songket,” katanya.

Arja turut mengakui masih wujud tanggapan bahawa busana tradisional seperti songket dan kelingkan terlalu mahal atau tidak relevan dengan gaya hidup moden.

“Sebenarnya ini bukan soal harga, tetapi soal kesedaran. Kalau orang mampu beli barangan berjenama mahal, tidak mustahil untuk mereka menghargai kelingkan atau songket.

“Kita perlu didik masyarakat bahawa songket dan kelingkan asli ini dibuat tangan, bukan mesin. Nilainya datang daripada usaha dan kesabaran artisan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden Pengasas MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, projek tersebut bukan sekadar memelihara warisan, tetapi turut memberi kesan langsung kepada komuniti artisan termasuk golongan B40 dan ibu tunggal.

“The Textile Project bukan sekadar pemeliharaan warisan negara, tetapi tentang maruah, pemerkasaan dan peluang. Ramai artisan kami terdiri daripada komuniti B40 dan ibu tunggal, dan melalui inisiatif ini, warisan menjadi sumber pendapatan serta laluan ke arah masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2024, seramai 20 penenun songket dan 20 penyulam kelingkan telah dilatih melalui pendekatan mentor dan pelatih, termasuk penglibatan komuniti dari Penjara Pengkalan Chepa.

Majlis tersebut telah diserikan dengan keberangkatan YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan YM Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta kehadiran Duta Jepun dan Duta Republik Persekutuan Jerman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN