PETALING JAYA: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan pembelian, pembiayaan atau pemilikan sebuah hartanah mewah bernilai AS$13 juta.
Rosmah berkata, beliau juga tidak pernah membiayai, memudahkan atau mengatur sebarang urus niaga hartanah bagi pihak menantunya atau mana-mana individu serta entiti lain.
Katanya, dakwaan berkenaan tersebar menerusi beberapa siri video di platform media sosial termasuk X dan Facebook.
“Saya menafikan setiap dakwaan tersebut secara keseluruhannya. Saya tidak pernah terbabit sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah.
“Saya juga tidak pernah membiayai, memudahkan atau mengatur urus niaga sedemikian bagi pihak menantu saya atau mana-mana individu dan entiti lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rosmah, dakwaan yang mengaitkannya dengan penggunaan shell company, struktur kewangan luar pesisir serta individu atau entiti tertentu adalah tidak berasas dan direka secara berniat jahat.
Beliau berkata, kandungan video berkenaan tidak disokong sebarang bukti yang boleh dipercayai, sebaliknya merupakan kempen terancang untuk memfitnah serta mencemarkan nama baik beliau dan keluarganya.
“Penerbitan dan penyebaran dakwaan tersebut merupakan perbuatan fitnah serta pembohongan berniat jahat.
“Kandungan itu mengelirukan, tidak bertanggungjawab dan direka untuk memperdaya orang ramai serta menyebabkan kerosakan besar terhadap reputasi saya dan keluarga,” katanya.
Rosmah berkata, beliau telah membuat laporan polis pada 14 Jun lalu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu, pihak serta akaun media sosial yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan.
Katanya, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Dalam pada itu, Rosmah menuntut pengendali platform media sosial mengambil tindakan segera untuk memadam, menyekat dan menghalang penyebaran lanjut kandungan yang didakwanya palsu serta berunsur fitnah itu.
Rosmah berkata, beliau mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil dan jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan tersebut.
“Saya menyeru orang ramai dan pihak media supaya bertindak secara bertanggungjawab, tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut proses undang-undang,” katanya. – UTUSAN









